Poster GrafikTurun Naik

Kebangkitan Ekonomi Malaysia

Oleh Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari dan Prof Dr Muzafar Shah Habibullah

 

LAPORAN Statistik Tenaga Buruh yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran pada Jun tahun ini menurun 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 4.9 peratus berbanding paras 5.3 peratus yang dicatat pada Mei yang lalu.

Penurunan kadar pengangguran itu membawa kepada dua persoalan berikut:

Pertama, apakah ini bermakna bahawa kadar pertumbuhan ekonomi sukuan kedua (April hingga Jun) lebih baik berbanding sukuan pertama (Januari hingga Mac)?

Persoalan kedua pula, adakah ekonomi Malaysia sudah menunjukkan tanda pemulihan?

Untuk menjawab persoalan pertama, indikator guna tenaga dan pengangguran boleh digunakan sebagai petunjuk utama kepada pertumbuhan ekonomi yang diukur berasaskan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Sukuan pertama (Januari hingga Mac) menunjukkan pengurangan penciptaan guna tenaga 53,600 orang akibat daripada kehilangan pekerjaan yang ketara pada Mac.

Situasi sukuan kedua (April hingga Jun) bertambah buruk dengan pengurangan guna tenaga 242,200 orang akibat daripada kehilangan pekerjaan yang ketara pada April.

Bagaimanapun, kadar kehilangan pekerjaan antara April dan Mei menunjukkan pengurangan dan akhirnya mencatat pertambahan peluang pekerjaan pada Jun.

Berdasarkan trend penciptaan guna tenaga di antara sukuan pertama dan kedua, pertumbuhan ekonomi untuk sukuan kedua dijangka lebih rendah berbanding sukuan pertama.

Semalam, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, melaporkan ekonomi negara menguncup 17.1 peratus pada suku kedua kesan daripada wabak COVID-19.

Penguncupan itu, katanya yang terburuk sejak krisis ekonomi 1998 menyaksikan ekonomi menguncup sebanyak 11.2 peratus pada suku keempat.

Pada pelaporan pertumbuhan ekonomi lalu, pertumbuhan KDNK sukuan pertama adalah 0.7 peratus berbanding pertumbuhan ekonomi sukuan pertama 2019.

Kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi sukuan kedua adalah -2.4 peratus berbanding dengan sukuan kedua 2019.

Jawapan kepada persoalan kedua pula adalah memang benar bahawa ekonomi Malaysia sudah ‘bangkit semula’ ke arah pemulihan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi sukuan pertama tahun ini adalah -2.0 peratus berbanding sukuan keempat 2019.

Pertumbuhan sukuan kedua pula walaupun dijangka negatif, tetapi lebih rendah berbanding sukuan pertama iaitu pada kadar jangkaan -1.8 peratus.

Di samping itu, kadar pengangguran yang berkurangan pada Jun lalu juga jelas menunjukkan pemulihan ekonomi yang sedang berlaku.

Jika operasi aktiviti ekonomi kekal seperti sedia kala dan wabak COVID-19 dapat dikawal, pertumbuhan ekonomi untuk sukuan ketiga dan keempat adalah lebih baik dengan angka pertumbuhan positif.

Ini mengambil kira impak ke atas ekonomi hasil suntikan perbelanjaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

 

  • Penulis adalah pensyarah di Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close