Pilihan EditorTurun Naik

SIRI 1: Berniaga Jadi Pilihan Untuk Jana Pendapatan Pasca PKP

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

 

Bernama akan menyiarkan rencana dua siri mengenai senario perniagaan melibatkan penjaja dan peniaga pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Masih ingat lagikah laporan berita yang menjadi viral baru-baru ini, mengenai seorang peniaga wanita, Che Minah yang melakukan sujud syukur saat beliau menerima lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?

Che Minah yang menjual pelbagai makanan asli Pantai Timur seperti nasi dagang dan nasi kerabu turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kerana memudahkan urusannya mendapatkan lesen itu setelah penantian selama 35 tahun.

Kisah beliau banyak membuka mata ramai pihak kerana kegigihannya terus mencari rezeki buat ahli keluarga selain tidak pernah berputus asa memohon lesen perniagaan sah.

Penantian yang akhirnya membuahkan hasil dan kini beliau boleh berniaga tanpa perlu risau dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Namun bagaimana pula nasib ramai lagi penjaja atau peniaga yang masih tidak mempunyai lesen perniagaan? Apakah mereka juga perlu menunggu sekian lama untuk mendapat lesen sah untuk berniaga?

 

‘TREND’ BAHARU


Suasana yang meriah di tapak perniagaan Taman Tasik Titiwangsa dengan orang ramai yang datang berkunjung dan menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual di sini. Setiap pelanggan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, antaranya perlu menulis nama dan suhu badan sebelum memasuki kawasan ini. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Satu perkembangan amat menarik berlaku selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Julai lalu.

Di kebanyakan kejiranan, trend baharu kemunculan begitu banyak gerai di tepi dan bahu jalan. Sebagai contoh, tinjauan berhampiran kawasan perumahan penulis di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang selepas pengumuman PKPP mendapati terdapat lebih 10 penjaja berbanding hanya dua atau tiga orang sebelumnya.

Mungkin ada antara mereka yang kehilangan sumber mata pencarian semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Begitu juga ada peniaga yang terpaksa “menggulung tikar” sehingga terpaksa “bertatih” semula dengan berniaga di tepi-tepi jalan.

Malah ada anak-anak muda yang memulakan inisiatif untuk perniagaan trak makanan food truck dengan menawarkan “menu hipster atau fusion”, sasaran tertumpu kepada pelanggan generasi muda.

Menu makanan tersebut merupakan kombinasi menu masakan asal dengan cita rasa moden. Antara yang popular adalah murtabak cheese leleh, air milo dinasour, kerabu maggi, manggo milk shake, air teh dengan boba, burger ketam lembut dan burger serunding.

Penulis dapat merasakan mereka mendapat inspirasi daripada kisah Che Minah ini, dan hasilnya semakin banyak trak di tepi-tepi jalan yang menjual aneka makanan, minuman dan buah-buahan, tidak kurang ada juga yang membuka khemah perniagaan kecil.

Apakah punca yang menyumbang kepada peningkatan secara drastik jumlah penjaja tepi jalan ini pasca COVID-19, dan rata-ratanya mereka yang berniaga adalah dari bangsa Melayu dan masih muda?

 

‘’CENDAWAN TUMBUH SELEPAS HUJAN” 


Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berpandangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlulah memudahkan urusan mereka yang ingin berniaga, ini kerana ada di kalangan mereka yang terpaksa berbuat demikian demi meneruskan kelangsungan hidup terutama pasca COVID-19 ini. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Datuk Seri Rosli Sulaiman, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ada beberapa faktor utama yang menjadi sebab mengapa jumlah penjaja tepi jalan semakin bertambah bagaikan cendawan yang tumbuh subur selepas hujan.

Antaranya, kehilangan pekerjaan terutama sepanjang pelaksanaan PKP dan PKPB akibat syarikat yang terpaksa memberhentikan pekerja sendiri bagi mengurangkan beban kos.

Menurut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini.

SIP turut memaklumkan pandemik COVID-19 menjejaskan banyak perniagaan.

“Pasca PKP contohnya, berapa ramai yang dibuang kerja? Bagaimana mahu meneruskan kehidupan? Ramai yang masih muda dan punya kudrat, jadi jalan mudahnya adalah menjalankan perniagaan dengan menjaja di tepi jalan, ini semua untuk survival dan mencari rezeki halal,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Walau bagaimanapun,  Rosli menyifatkan mereka ini sebagai ‘penjaja ekspres’ kerana hanya berniaga buat sementara waktu sahaja. Berkemungkinan besar mereka akan berhenti berniaga apabila berpeluang mendapatkan pekerjaan lain yang lebih stabil dan bergaji tinggi.

Faktor lain adalah kerana modal permulaan dan kos yang perlu ditanggung penjaja tepi jalan untuk memulakan perniagaan lebih rendah berbanding pengusaha restoran atau kedai makan.

Menurut Rosli, keuntungan yang boleh diperolehi hasil jualan harian oleh penjaja tepi jalan ini tidaklah berapa menguntungkan, ‘hanya cukup-cukup makan’ ataupun ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

“Kebiasaannya, purata hasil keuntungan mereka ini hanyalah sekitar RM100-RM150 sehari, dan mungkin hanya boleh mencecah kurang RM5,000 sebulan. Tidaklah cukup jika dibandingkan dengan kos sara hidup di bandar seperti Kuala Lumpur ini. Itu belum dikira jika perlu mengambil kos ambil lesen berniaga, gaji pekerja (jika ada) serta kos lain yang berkaitan,” jelasnya.

 

MUDAHKAN PENJAJA BERNIAGA

Rosli yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia  (G3PM) turut menyarankan agar pihak berkuasa terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memudahkan urusan mereka yang ingin berniaga.

Ini, katanya, kerana ada dalam kalangan mereka yang berbuat demikian hanyalah untuk meneruskan kelangsungan hidup diri serta keluarga.

“Memang benar kita sedang membantu kerajaan memerangi COVID-19, namun ekonomi negara perlu turut dijana semula secara berperingkat. Kita ambil contoh jika sesuatu kawasan itu sudah diisytihar kawasan hijau dan bebas COVID-19, berilah kebebasan kepada mereka untuk berniaga dan menjaja di tepi jalan tanpa perlu melalui syarat yang ketat. Asalkan mereka dapat mematuhi SOP yang ditetapkan, itu pada saya sudah cukup memadai.

“Paling penting sekarang, kita perlu berusaha naikkan semula ‘mood’ membeli rakyat dan menghapuskan rasa takut mereka untuk keluar membeli-belah. Dengan itu, semua pihak akan mendapat keuntungan bersama dan ekonomi negara dapat dijana kembali,” tambahnya.

Rosli turut menyarankan agar kerajaan terus berusaha habis-habisan membanteras warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram kerana ia menjejaskan pendapatan rakyat negara ini.

“Amatlah tidak adil sekiranya warga asing ini dibenarkan berniaga terutama mereka yang berniaga secara haram. Mereka ini kebanyakannya tidak membayar cukai pendapatan, tiada lesen perniagaan sah dan tidak membayar kos syarikat penyelenggaraan kebersihan seperti Alam Flora.

‘Kasihanilah rakyat kita yang berusaha mencari sesuap rezeki pasca COVID-19 terutamanya yang menjaja di tepi jalan. Ini kerana kewujudan warga asing ini sudah pastinya mengganggu periuk nasi mereka. Ramai lagi rakyat negara ini yang perlu diberikan bantuan dan didahulukan,” katanya.

 

GIGIH BERUSAHA

Mereka yang menjaja dan berniaga mempunyai pelbagai kisah kehidupan sebelum dan selepas pelaksanaan PKP.

​​​​​​​


Samsuri Shaari, peniaga laksa yang menjalankan perniagaan dengan nama ‘Laksa Van Biru’ di Taman Tasik Titiwangsa gigih berusaha berniaga. Walaupun hasil keuntungan hariannya tidak lumayan namun beliau perlu demi menyara ahli keluarganya serta menanggung kos pelajaran tiga orang anaknya. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Peniaga laksa, Samsuri Shaari, 59, yang berniaga di Taman Tasik Tiwangsa, Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu berkongsi pengalamannya dengan penulis.

Beliau begitu bersyukur apabila kerajaan mengumumkan pembukaan kembali lebih banyak sektor ekonomi terutamanya sektor perniagaan sejurus PKPP dilaksanakan.

Samsuri menjalankan perniagaan ‘Laksa Van Biru’ dengan dibantu isteri dan tiga orang anak lelakinya.

“Alhamdulillah syukur sangat perniagaan saya dapat beroperasi sepenuhnya selepas PKPP diumumkan. Bayangkanlah tiga bulan ketika PKP tidak dapat keluar berniaga memandangkan inilah satu-satunya punca pencarian saya untuk keluarga.

“Ketika tempoh tidak dapat berniaga itu, saya hanya mengharapkan duit RM1,600 dari Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang saya terima pada Mei dan terpaksa juga bergantung pada duit simpanan yang ada. Tidaklah dapat saya bayangkan nasib kami jika PKP dipanjangkan tempohnya, ” katanya.

Samsuri yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu turut berkata setakat ini, inilah yang termampu dapat beliau lakukan demi mencari sesuap nasi, dan juga untuk menanggung perbelanjaan anak-anaknya yang masih belajar.

“Perniagaan kecil sebegini memerlukan modal harian sekitar RM300, dan hasil jualan harian cumalah sekitar RM600. Makan dengan hasil untung RM300 itulah saya simpan untuk anak-anak.

“Saya perlu terus gigih berusaha demi pembelajaran mereka, dan juga menunaikan impian saya untuk membuka kedai sendiri di UTC Keramat, suatu hari nanti,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut berharap supaya kisah pahit getir hidupnya dapat dijadikan teladan oleh orang lain untuk turut berusaha memperbaiki taraf hidup kehidupan dan seterusnya dapat memajukan ekonomi negara dengan lebih mampan terutama pasca COVID-19 ini.

 

CABARAN GETIR

​​​​​​​​​​​​​​


Peniaga makanan nasi berlauk di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang, Melyana Hafiza Hafid (kiri) menjalankan perniagaannya setiap hari sekitar 9 pagi sehingga 9 malam di Taman Tasik Titiwangsa. Beliau menyatakan rasa gembira dan bersyukur dengan hasil perniagaannya walaupun sebelum ini beliau pernah bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Lain pula kisahnya peniaga makanan berlauk, Melyana Hafiza Hafid, 19, yang terpaksa berniaga secara sepenuh masa selepas beliau mengambil keputusan untuk berhenti bekerja.

“Dulu saya bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat, namun atas banyak sebab saya akhirnya berhenti kerja dan berniaga bagi membantu ibu. Di pejabat lama saya bekerja dahulu, ramai juga yang terpaksa diberhentikan kerja terutama selepas PKP kerana ekonomi syarikat yang agak tidak stabil.

“Namun saya bersyukur kerana rezeki tidak putus-putus datang menerusi pelanggan yang sering datang membeli makanan yang saya jual,

“Walaupun saya kerja dari pagi hingga malam tapi saya berasa puas dengan pekerjaan sekarang kerana dalam masa yang sama saya turut membantu ekonomi negara,” katanya kepada Bernama. Beliau menjalankan perniagaan trak makanan di Ampang, Selangor.

Wanita gigih ini menasihati mereka yang baru mula berkecimpung dalam dunia perniagaan untuk sentiasa bekerja keras dan jangan sekali-kali mudah berputus asa kerana apa yang paling penting adalah mencari rezeki yang halal untuk keluarga.

“Tidak mengapa sekiranya ada antara kita yang mengambil keputusan untuk berniaga sementara waktu ini mungkin kerana baru diberhentikan kerja.

“Yang penting kita bekerja secara halal dan tidak menyusahkan orang lain. Nanti ada peluang dan rezeki dapat pekerjaan yang lebih baik, maka pilihlah apa yang terbaik untuk diri, keluarga dan negara,” katanya. – BERNAMA

 

  • Untuk siri pertama ini, wartawan Bernama,  Muhammad Basir Roslan turut meninjau mereka yang menerokai bidang perniagaan untuk menjana pendapatan di samping membantu kerajaan memulihkan kembali ekonomi akibat krisis COVID-19.

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close