Kebebasan bank pusat dalam menggubal dasar makroekonomi serta mengawal selia sektor perbankan perlu terus dipertahankan sebagai asas kepada kestabilan sistem kewangan negara yang dibangunkan sejak beberapa dekad lalu.
Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Datuk Azman Shah Mohd Yusof, berkata keupayaan dan autoriti bank pusat untuk merangka dasar secara bebas daripada pengaruh mana-mana kerajaan yang memerintah adalah antara kekuatan utama yang perlu dikekalkan.
Beliau berkata, sepanjang lebih 20 tahun lalu, Malaysia berjaya membangunkan sistem kewangan yang diiktiraf stabil dan berdaya tahan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam pelbagai keadaan.
“Keupayaan dan kuasa untuk menggubal dasar makroekonomi serta mengawal selia sektor perbankan perlu kekal bebas daripada mana-mana kerajaan yang memerintah.
“Dalam aspek itu, saya fikir kita telah melakukannya dengan agak baik dan ia perlu terus dipelihara,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam sesi bertajuk ‘Finance for a Flourishing Society: Propelling Malaysia’s Long-term Aspirations’ sempena Simposium Sasana 2026 di sini, hari ini.
Turut menjadi ahli panel ialah Pengerusi Celcomdigi, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz; dan Rakan Pengurus Negara EY Malaysia, Datuk Abdul Rauf Rashid. Sesi itu dikendalikan Pengarah Jabatan Inovasi dan Pembangunan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Harizal Alias.
Bagaimanapun, Azman berkata, landskap ekonomi global kini berubah dengan pantas, menyebabkan pendekatan penggubalan dasar perlu berkembang seiring perubahan berkenaan.
Katanya, pendekatan tradisional yang lebih tertutup dan bergantung kepada proses dalaman perlu digantikan dengan model lebih terbuka yang memberi penekanan kepada penglibatan langsung pemain industri.
Beliau berkata, usaha pihak berkuasa turun padang mendapatkan pandangan pemain industri adalah satu perubahan besar yang wajar diteruskan kerana mampu menghasilkan dasar lebih praktikal dan responsif terhadap keperluan sebenar ekonomi.
“Kita perlu bekerja bersama. Konsep penciptaan bersama (co-creation) amat dekat di hati saya kerana menerusi pendekatan itu, pengawal selia dan industri dapat saling bertukar maklumat, membina persefahaman serta menentukan tindakan terbaik yang perlu dilaksanakan.
“Itulah keberanian yang diperlukan untuk berfikir semula dan melakukan sesuatu secara berbeza,” katanya.
Azman berkata, proses penggubalan dasar yang lebih tangkas atau agile policy making membolehkan pengawal selia memahami cabaran sebenar yang dihadapi industri, sekali gus mempercepat penyelesaian terhadap isu yang timbul.
Katanya, perkongsian maklumat dan kerjasama secara berterusan akan meningkatkan mutu dasar yang dihasilkan kerana setiap pihak memahami cabaran serta keperluan sebenar industri.
“Pendekatan sedemikian bukan sahaja meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar, malah mengukuhkan keyakinan antara pihak berkuasa dan sektor swasta dalam mendepani cabaran ekonomi yang semakin kompleks,” katanya.
Azman turut berpandangan bahawa kerjasama erat antara pengawal selia dan pemain industri perlu menjadi budaya baharu dalam sektor kewangan supaya setiap dasar yang dirangka lebih menyeluruh, inklusif dan bersesuaian dengan perubahan landskap ekonomi.
Dalam sesi sama, moderator memaklumkan pendekatan lebih bersifat fasilitatif dan konsultatif akan terus diperkukuhkan memandangkan bank pusat dijangka memainkan peranan lebih besar dalam menyokong transformasi ekonomi negara.
Perbincangan itu turut menekankan bahawa daya tahan sektor kewangan pada masa depan bukan sekadar bergantung kepada perubahan dasar atau institusi, sebaliknya memerlukan perubahan minda, kerjasama lebih erat serta pendekatan penciptaan bersama antara kerajaan, pengawal selia dan industri. – BH ONLINE




