Governans

Kebergantungan Import Ancam Keselamatan Makanan Negara – Menteri Ekonomi

Kebergantungan import makanan yang tinggi menimbulkan ancaman keselamatan makanan ketika Malaysia menuju ke arah peningkatan jumlah penduduk kepada 45 juta penduduk menjelang 2050 berbanding, 34 juta ketika ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata defisit dagangan makanan sekitar RM31 bilion, iaitu membabitkan import 1.7 kali ganda daripada eksport setakat 2022 turut mengancam fungsi ekonomi, ketika banyak negara beralih kepada keselamatan makanan.

“Ini memberi kesan tekanan. Dengan lebih ramai orang di Malaysia, permintaan untuk makanan import akan meningkat bagi memenuhi keperluan pengguna.

“Tahap kebergantungan import menjadi kebimbangan apabila kita mempertimbangkan trend sejarah pembangunan. Malaysia, seperti kebanyakan negara membangun, mengalihkan tumpuan dari sektor pertanian dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi kita,” katanya ketika berucap melancarkan Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) bagi Oktober 2024 Bank Dunia bertajuk ‘Farming the Future: Harvesting Malaysia’s Agricultural Resilience through Digital Technologies’ di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sejak 1974, sumbangan pertanian kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menurun secara berterusan dari sekitar 30 peratus kepada kurang daripada 10 peratus pada 2022.

“Cabaran kita ialah sektor pertanian mengalami jurang pemodenan. Jika dilihat dari segi produktiviti, nilai tambah per jam bekerja sebenarnya menurun daripada RM25.2 pada 2015 kepada RM24.8 pada 2023, sementara sektor pembuatan dan perkhidmatan adalah lebih produktif sekitar dua kali ganda.

“Ini memberi tekanan kepada gaji, dengan pertumbuhan pekerjaan di sektor ini masih 4.2 peratus, tetapi kebanyakannya berasal dari kawasan luar bandar, yang memberi implikasi sosial yang negatif,” katanya.

Beliau mendedahkan, keadaan terbabit meningkatkan jurang bandar-luar bandar, dengan kegagalan menangani perkara itu akan meninggalkan Malaysia dengan dilema seperti Detroit, Amerika Syarikat (AS).

“Detroit adalah sebuah bandar di mana industri automotifnya merudum menyebabkan reaksi negatif terhadap pemimpin. Bagi kita, kes pemodenan ini bukan sahaja baik dari segi ekonomi, tetapi juga ada dorongan sosial bagi kerajaan untuk bertindak dengan cepat.

“Penyelesaiannya ialah membina hujah ekonomi baru untuk pertanian. Hasrat kita adalah untuk menghidupkan semula dan memberi fokus kepada pertanian sebagai pendorong pertumbuhan bagi ekonomi baru,” katanya.

Rafizi berkata, peningkatan produktiviti akan meningkatkan gaji dan output, yang mana bakal mengurangkan jurang sosial dan kebergantungan makanan.

“Cara untuk mencapainya ialah dengan mengadaptasi teknologi secara berperingkat. Kita semua memahami kemampuan teknologi untuk merapikan rantaian bekalan dan meningkatkan kecekapan.

“Namun, pendekatan tradisional untuk mencipta pelan digitalisasi yang rumit adalah ketinggalan zaman. Kita tidak boleh mengharapkan nelayan biasa membaca dokumen tebal ini dan mengubah amalan mereka,” katanya.

Katanya, pendekatan seperti MVP (Minimum Viable Product) adalah pilihan terbaik dengan ia akan membina kes penggunaan digital dalam segmen rantaian nilai, menguji dengan teliti, mengenal pasti sebarang jurang dan pertumbuhan hasil dengan cepat.

“Setakat ini, kami telah mencuba ini dengan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN). Kami telah mengambil tanah persekutuan di 16 lokasi di seluruh negara dan menghidupkan semula tanah berkaitan menggunakan teknologi pertanian moden. Ini adalah pendekatan keusahawanan untuk membasmi kemiskinan.

“Kami juga mahu menunjukkan bahawa ini bukan sahaja meningkatkan hasil, malah gaji. Sebagai contoh, terdapat beberapa peserta INTAN yang memperoleh hingga RM5,600 sebulan – lebih dari dua kali ganda gaji purata petani. Dengan menunjukkan manfaat sebenar teknologi, petani luar bandar dapat mencapai gaji dan taraf hidup yang lebih tinggi,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close