Pilihan EditorTurun Naik

Kerajaan Jimat RM40 Bilion Jika Subsidi Diberi Bersasar – Penganalisis

Kerajaan dijangka dapat menjimatkan hampir RM40 bilion jika inisiatif subsidi bersasar dilaksanakan secara berperingkat.

Penjimatan itu boleh disalurkan untuk tujuan lain termasuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, demikian menurut penganalisis ekonomi.

Profesor Adjung Tun Abdul Razak School of Government (TARSOG) Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Zulkiply Omar, berkata tujuan asas subsidi adalah untuk menangani isu pengagihan di dalam ekonomi supaya rakyat menerima manfaat yang adil daripada kekayaan negara.

“Lantaran itu, jika subsidi perlu diguna pakai untuk tujuan pengagihan yang adil, subsidi bersasar adalah kaedah yang lebih sesuai. Ini kerana, hanya golongan yang sepatutnya menerima subsidi ini. Jika dilaksanakan, saya berpandangan ia perlu dilakukan secara berperingkat mengambil kira kesan terhadap inflasi dan juga bebanan terhadap perbelanjaan isi rumah.

“Ini bermakna, kerajaan mampu menjimatkan separuh daripada peruntukan yang lazimnya disalurkan untuk subsidi. Sejak kebelakangan ini, perbelanjaan untuk subsidi hampir mencecah RM80 bilion. Ini bermakna jika dilaksanakan secara berperingkat dengan mengecualikan T20, hampir RM40 bilion boleh dijimatkan,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Zulkiply berkata, hasil penjimatan yang diperoleh daripada subsidi bersasar antara lain boleh digunakan untuk mengawal defisit belanjawan kerajaan supaya berada pada tahap yang lebih rendah.

Katanya, peruntukan juga boleh disalurkan untuk keselamatan sosial terutamanya dalam bentuk pemberian tunai kepada golongan rentan.

“Ini dapat dilaksanakan tanpa mengganggu peruntukan pembangunan. Bantuan tunai bersasar untuk golongan rentan juga mampu menjana pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan swasta.

“Subsidi bersasar perlu dilaksanakan secara berperingkat. Jika pengecualian subsidi disasarkan kepada golongan T20, bila-bila masa pun adalah sesuai.

Beliau menjelaskan, mekanisme yang paling cekap dan berkesan dalam melaksanakan subsidi bersasar adalah di dalam bentuk pemberian tunai kepada golongan rentan.

“Cabaran utama adalah mengenal pasti golongan rentan. Peringkat permulaan, kerajaan boleh menggunakan maklumat sedia ada, iaitu berdasarkan penerima bantuan tunai sekarang seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Pada masa sama, kerajaan perlu mengemas kini data sedia ada melalui peningkatan digitalisasi. Dalam pada itu, mekanisme saringan kelayakan juga perlu diperbaiki dari semasa ke semasa untuk meminimumkan ralat kemasukan dan ralat pengecualian,” katanya.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, pula berkata penjimatan daripada pemberian subsidi bersasar boleh disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dan mereka yang tidak patut mendapat bantuan perlu dikecualikan.

“Jadi, duit hasil penjimatan ini boleh disalurkan kepada perbelanjaan yang lebih produktif berbanding dengan memberikan subsidi secara pukal semata-mata, seperti perbelanjaan terhadap inisiatif baharu yang dapat meningkatkan pendapatan rakyat, seperti program bantuan pendapatan asas, pemberian baucar makanan ataupun ‘ration card’ kepada yang memerlukan.

“Ia juga boleh digunakan untuk program perkhidmatan yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemampanan pembangunan, seperti rumah mampu milik mesra alam, sistem pengangkutan awam berteknologi hijau.

“Selain itu, aplikasi dan kaedah pertanian yang mampan serta berteknologi tinggi boleh mengatasi masalah sekuriti makanan dan bekalan makanan yang bernutrisi pada harga yang berpatutan,” katanya.

Irwan Shah berkata, sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan kaedah subsidi bersasar kerana ia berkait dengan dua isu utama yang dihadapi negara pada ketika ini, iaitu kos sara hidup yang melambung tinggi dan hutang kerajaan yang tidak mapan dan mampan.

“Ia seperti serampang dua mata. Kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik untuk mengenal pasti golongan yang betul-betul layak untuk mendapat bantuan. Dalam hal ini, kerajaan boleh melihat aspek lain selain daripada pendapatan isi rumah contohnya dari segi tanggungan, struktur keluarga dan juga lokasi.

“Dari segi subsidi petrol RON95 pula, perlu ada formula menang-menang antara pengguna, peniaga, dan kerajaan untuk memastikan apa pun mekanisme yang dipilih, sama ada secara pengapungan terkawal ataupun model pengapungan sepenuhnya, pelaksanaannya tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, keuntungan peniaga, dan kekuatan kewangan negara,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata sebagai permulaan, subsidi bersasar untuk bahan api sesuai dilaksanakan kerana harga komoditi utama dunia kini stabil, sebelum beralih kepada segmen lain seperti beras, gula dan tepung.

“Perlu ada projek perintis untuk menentukan mekanisme terbaik bagi melaksanakannya di seluruh negara sama ada di bandar, luar bandar mahupun pekan di sempadan negara.

“Sebagai contoh, stesen minyak dan penjualan gas petroleum cecair (LPG) dijual pada harga semasa, dan rakyat tempatan diperlukan memberikan pengenalan diri untuk membelinya pada kadar bersubsidi. Ini hanyalah satu cadangan dan pelbagai cara lain boleh dilakukan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close