MalaysiaPilihan Editor

Israel Satu Bangsa Paling Penakut, Sekatan Ekonomi Terhadap Israel Akan Menangkis Keangkuhan Mereka

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Gerakan menceroboh dan provokasi melampau tentera Zionisme Israel terhadap mana-mana lokasi di Palestin adalah sesuatu yang dirancang dan disusun secara strategik khususnya pada setiap bulan Ramadan.

Antara sasaran yang sering diserang ialah di Masjid al-Aqsa, Gaza dan Tebing Barat mengikut keperluan semasa bagi menunjukkan kekuatan ketenteraan dan pengaruh geo-politik Zionisme Israel di peringkat antarabangsa.

Bekas Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang pernah merasai kekejaman Israel ini menegaskan Zionisme Yahudi ini adalah satu bangsa paling penakut kerana menyerang rakyat Palestin termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak yang tidak bersenjata.

“Takutnya bangsa Yahudi ini sering kali berlaku kepada misi-misi kemanusiaan yang kononnya negara Israel dicabuli kedaulatan dan dipaksa pelbagai sekatan dan menerima cemuhan di peringkat antarabangsa.

‘Sangat jelas dalam al-Quran menyebut ayat 24 dan ayat 51, al-Maidah, ayat 14, al-Hashr dan  ayat 246, al-Baqarah bahawa menerangkan Yahudi adalah bangsa yang cukup lemah dan penakut, malahan dalam kalangan mereka juga takut untuk melantik pemimpin antara mereka,” kata Mohd Nizar yang pernah ditahan tentera Israel dan melihat sendiri kekejaman melampau sewaktu menyertai misi kemanusiaan ke Gaza 13 tahun lalu.

Ketika itu, Mohd Nizar, salah seorang daripada enam sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel yang merampas kapal MV Rachel Corrie dalam misi bantuan kemanusiaan di Gaza.

Malahan beliau turut berkongsi pengalaman betapa sengsaranya provokasi yang dilemparkan tentera Zionisme Israel sewaktu ditahan di penjara selama hampir 20 jam dan dipaksa menandatangani perjanjian yang meragukan dalam bahasa Hebrew.

Selain Mohd Nizar, lima sukarelawan lain yang ditahan adalah anggota Pertubuhan Damai Perdana Global (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta wartawan TV3, Halim Mohamed dan jurukameranya, Mohd Jufri Judin.

Beliau mengulas berhubung tindakan melampau dan kekejaman polis Zionisme Israel yang menceroboh dan bertempur dengan rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa, dalam tempoh 24 jam baharu-baharu ini.

Konfrontasi itu yang berlaku ketika bulan mulia Ramadan dan menjelang sambutan keagamaan Yahudi, turut mencetuskan serangan saling berbalas merentasi sempadan di Gaza serta meningkatkan kebimbangan akan keganasan semakin memuncak.

Sementara itu, Nabil Abu Rudeineh sebagai jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyifatkan tindakan pihak Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah, sebagai tamparan kepada usaha Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini untuk mewujudkan ketenangan serta kestabilan ketika Ramadan.

Mohd Nizar juga mempersoalkan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) jangan tutup sebelah mata sahaja apabila berlaku pencerobohan dan provokasi melampau yang disengajakan oleh Zionisme Israel.

Peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menurut beliau, kedua-dua pertubuhan ini bukan sekadar untuk melaungkan amaran, kritikan dan bantahan semata-mata tetapi perlu ada gerakan penyelesaian yang sangat tegas.

“Perlu ada titik noktah kerana saya percaya masyarakat Palestin, sebahagian penduduk haram Israel dan negara di sekeliling rantau berkenaan yang cintakan kedamaian dan keharmonian.

“Setidak-tidaknya Malaysia perlu sekali lagi menjadi orang tengah atau perunding kedamaian antarabangsa sebagai usaha menunjukkan contoh konsep MADANI itu adalah pemangkin atau pencetus kepada proses penyelesaian sebarang konflik yang berterusan selama ini,” ujar Mohd Nizar.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Parit turut berpandangan bahawa melemahkan ekonomi merupakan salah satu tindakan yang amat berkesan bagi menjatuhkan Zionisme Israel.

“Mengenali syarikat-syarikat Israel bukanlah satu perkara yang sukar buat masa sekarang. Ini kerana, teknologi masa kini dapat digunakan bagi mengenali mana-mana syarikat yang diasaskan oleh Israel.

“Inilah cara terbaik dan dakwah paling berkesan yang akan dapat memberi kesedaran menangkis keangkuhan dan kesombongan Israel ini.

“Selama ini pun, bangsa Zionisme Yahudi ini menganggap mereka hebat dan tiada negara yang kononnya berani mengugut atau menyerang mereka. Tanggapan mereka ini sebenarnya salah sama sekali.

“Kekuatan solidariti seluruh umat Islam di seluruh dunia ini andainya bersatu hati memboikot dan menyekat produk dan perniagaan milik bangsa Yahudi ini, nescaya kesannya sangat mendalam.

“Bangsa Yahudi ini adalah pencinta duniawi dan segala kekayaan ekonomi ini dianggap syurga dan lambang kekuatan. Sebab itu, kita perlu tahu mana perlu disasarkan. Memboikot barangan Israel merupakan satu tanda protes rakyat Malaysia terhadap serangan rejim Zionis ke atas Palestin ini,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close