GovernansMalaysiaPilihan Editor

Solusi Menang-Menang, Harga Lantai Belian Padi Selaras RM1,500 Mula Ahad Ini – Mohamad Sabu

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

“Solusi menang-menang kepada semua kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” Datuk Seri Mohamad Sabu.

Solusi menang-menang bermula daripada pesawah, pengilang dan seterusnya pengguna !

Ini berdasarkan langkah progresif kerajaan Perpaduan Madani yang melaksanakan harga lantai belian padi yang akan diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini – 16 Februaro 2026.

Seiring penyelarasan baru harga lantai padi itu, Mohamad turut menegaskan bahawa harga beras putih tempatan di pasaran juga kekal pada RM2.60 sekilogram.

Pengekalan harga itu bagaimanapun menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos pengeluaran berjumlah RM150 juta bagi tempoh enam bulan ini.

“Dalam tempoh enam bulan ini, sebanyak 24 juta kampit beras 10 kilogram yang berharga RM26 akan berada di pasaran.

“Pengumuman ini diharap dapat memberikan solusi menang-menang kepada semua, bermula daripada pesawah, pengilang dan seterusnya pengguna, kata Mohamad pada sidang media di Parlimen hari ini.

Justeru, Menteri menyifatkan bahawa kerajaan sedaya upaya mengambil kira kepentingan semua pihak terutama penanam padi, pengguna serta pengilang, pemborong dan peruncit.

“Harap benar semua pihak menikmati hasil daripada pengumuman dibuat kerajaan (Perpaduan Madani) ini,” katanya.

 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menggulung perbahasan penerangan menteri di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menggulung perbahasan penerangan menteri di Dewan Rakyat, hari ini. – Foto BERNAMA

Mohamad berkata, KPKM sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi oleh pesawah di seluruh negara, memandangkan langkah demikian akan membantu mereka menambah hasil dan pendapatan bagi setiap musim.

Di samping itu, kerajaan menerusi KPKM sudah menyediakan pelbagai insentif bagi menyokong usaha pesawah, malah ketika ini, mereka sudah menikmati pemberian subsidi yang dinilaikan paling tinggi di ASEAN.

Usaha ini termasuk (insentif bagi) pelaksanaan Program SMART SBB, pemerkasaan infrastruktur pengairan dan saliran, galakan penggunaan teknologi, sokongan latihan dan meneruskan penyelidikan dan pembangunan dalam subsektor padi dan beras.

Program ini berjaya meningkatkan purata pengeluaran padi daripada tujuh tan metrik per hektar kepada 10.45 tan metrik per hektar di beberapa kawasan (penanaman padi),

Dengan penyelarasan terbaru harga lantai padi ini, bermakna dalam tempoh dua tahun ini, Kerajaan Perpaduan sudah menaikkan subsidinya sehingga RM340 per tan metrik, dengan kenaikan terakhir sebelum ini adalah sebanyak RM140 per tan metrik.

Terdahulu ketika menyampaikan penerangan khas berkaitan isu beras dan harga lantai padi di Dewan Rakyat, Mohamad berkata, skim harga subsidi pada padi bersih sudah meningkat beberapa kali dalam tempoh hampir 50 tahun ini.

“Antaranya pada zaman Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, diberi subsidi RM167. Ketika Menteri Kewangan selepas itu, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, memberi insentif kenaikan RM81.10. Zaman Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM51.90, menjadi jumlah subsidinya RM300.

“Zaman (Menteri Kewangan) Lim Guang Eng kenaikannya adalah RM60, menjadikan jumlah subsidi naik kepada RM360. Zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenaikan RM140 menjadikan subsidi sebanyak RM500,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kabinet minggu lalu juga bersetuju dengan cadangan KPKM untuk menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) yang bertujuan memperkukuhkan aspek kawalselia dan penguatkuasaan ekosistem agromakanan termasuk di dalam industri padi dan beras.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga lantai belian padi RM1,300 bagi setiap tan dengan pengilang menawarkan harga belian lebih tinggi iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 di pasaran terbuka.

Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah penetapan itu yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close