Ekonomi Islam & GlobalGovernans

LAWATAN KREMLIN: Anwar Tamatkan Lawatan 4 Hari Ke Russia, Sifatkan Tatarstan Contoh Model Keharmonian Agama

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menamatkan lawatan rasmi selama empat hari ke Russia, dengan menyifatkan Republik Tatarstan sebagai contoh model keharmonian antara agama dan kerjasama serantau.

Dalam sidang media di sini, Perdana Menteri memuji warisan Islam yang kukuh di Tatarstan serta hubungan eratnya dengan Gereja Kristian Ortodoks, yang menurutnya mencerminkan ‘semangat hidup bersama secara aman’.

“Tatarstan ialah wilayah Islam yang kuat, namun yang menarik perhatian saya ialah kerjasama rapatnya dengan Gereja Ortodoks yang mewakili hampir 50 peratus penduduk di sini.

“Ini adalah contoh nyata keharmonian antara agama,” katanya.

Anwar berkata beliau bersama menteri yang mengiringinya turut mengambil peluang bertemu pihak Gereja Ortodoks bagi menyatakan penghargaan Malaysia terhadap pendekatan inklusif Tatarstan, sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Mardzhani yang bersejarah.

Anwar turut mengalu-alukan keterbukaan Putin terhadap cadangan siasatan bebas baharu berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines MH17, di samping menegaskan pendirian Malaysia yang menuntut keadilan berasaskan kebenaran dan ketelusan.

“Presiden Putin menyatakan simpati terhadap keluarga mangsa dan menyatakan kesediaan Russia untuk bekerjasama, dengan syarat badan penyiasatan itu benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi tekanan politik.

“Pendirian Malaysia adalah tegas. Kita mahukan kebenaran, tetapi tidak akan membuat sebarang andaian atau tuduhan tanpa bukti,” katanya.

Beliau menambah, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha meningkatkan perdagangan dalam komoditi agro seperti minyak sawit dan koko, selain menyelesaikan isu yang menghalang kelancaran kerjasama dua hala.

“Kami turut menyentuh sektor industri kimia, perabot, runcit dan pembangunan infrastruktur, serta bidang digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Lawatan Anwar ke Kazan, ibu kota Tatarstan, turut merangkumi penyampaian ucaptama pada sesi dialog ‘Strategic Vision Group Russia–Islamic World’ dan sesi pleno KazanForum 2025.

Beliau turut mengadakan pertemuan bersama Rais (ketua) Tatarstan, Rustam Minnikhanov, tokoh ilmuwan Islam serta mufti, selain pemimpin kebangsaan dan bekas Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedow.

Anwar juga mengadakan perbincangan sampingan dengan beberapa wakil wilayah dan menteri lain.

Mengenai hubungan bidang pendidikan, Anwar berkata perbincangan sedang berlangsung untuk mengembalikan pengajian bahasa Melayu di universiti di Russia selain memperkenalkan kursus Bahasa Russia di Universiti Malaya.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan supaya pegawai diplomat Malaysia dan pegawai muda mengikuti pengajian dalam bahasa Arab, Perancis dan Russia sebagai persediaan menghadapi tugasan di peringkat global. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close