Ekonomi Islam & GlobalGovernans

PM Anwar Lawat Battersea Power Station, Pelaburan Ikonik, Terbesar Malaysia di UK

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melawat Battersea Power Station yang merupakan pelaburan terbesar Malaysia membabitkan dana awam di Eropah.

Perdana Menteri berada di sini bagi lawatan kerja selama lima hari ke United Kingdom.

Ketibaan beliau di Battersea Power Station yang terletak di lokasi ikonik di tebing Sungai Thames disambut Pengerusi Battersea Project Holding Company Ltd, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Bhd (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Perdana Menteri kemudian diberi taklimat mengenai projek pemulihan seluas 16.97 hektar yang berpusat di sekitar Battersea Power Station yang ikonik.

Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Transformasi pembangunan besar-besaran ini dipimpin oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada PNB, Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sewaktu lawatan kerja di London UK, saya dan delegasi sempat singgah di Battersea Power Station yang dimiliki oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property, SP Setia Bhd, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ketersediaan segala infra di sini mampu menarik dan mengembangkan pulangan pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) ini ke tahap lebih tinggi di masa hadapan,” katanya di Facebook.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah melawat Battersea Power Station sempena lawatan beliau ke United Kingdom. - PMO
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah melawat Battersea Power Station sempena lawatan beliau ke United Kingdom. – PMO

 

Battersea Power Station adalah salah satu projek pemulihan terbesar di Eropah, yang menyediakan lebih 4,000 rumah baru, 3.5 juta kaki persegi ruang komersial bercampur, 7.69 hektar ruang awam dan 20,000 peluang pekerjaan, dengan kira-kira separuh daripada kawasan kejiranan tersebut telah siap dibina setakat ini.

Sejak dibuka kepada orang ramai pada Oktober 2022, kawasan Battersea Power Station menerima lebih 24 juta pengunjung dan kini menjadi destinasi pilihan dengan pelbagai tarikan termasuk kedai, restoran dan aktiviti riadah seperti gelanggang luncur ais tepi sungai serta Lift 109, lif kaca dengan pemandangan London yang menakjubkan.

Ia turut dinamakan oleh National Geographic sebagai salah satu daripada 20 ‘Best Cultural Spots’ di dunia pada 2024. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close