Dimensi Bisnes

Lazada, TNG Digital Suntik RM6 Juta Dalam ‘#kitabantukita’ Bagi Bantu 320,000 PKS

Penggiat e-dagang, Lazada Malaysia dan TNG Digital Sdn Bhd memperkenalkan program insentif bernilai RM6 juta dinamakan #KitaBantuKita untuk merangsang ekonomi negara selepas COVID-19 dan melindungi lebih 320,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta netpreneur.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Leo Chow berkata ekonomi digital akan menjadi faktor penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia.

“Kita telah menyaksikan perubahan yang ketara dalam landskap perniagaan, dengan lebih banyak PKS tempatan mendigitalkan perniagaan mereka dengan memilih dalam talian.

“Sejak lima bulan lepas, jumlah penjual baharu di Lazada naik lebih 200 peratus berikutan rakyat Malaysia semakin ke arah penyelesaian dalam talian untuk keperluan harian mereka,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Dengan satu pertiga daripada rakyat Malaysia yang membeli-belah di Lazada setiap bulan, inisiatif #KitaBantuKita menyasarkan untuk membantu PKS kembali bangkit dan mempercepatkan pemulihan mereka, katanya.

Sebagai tambahan kepada Pakej Kedai Pintar melibatkan dana tunai sebanyak RM10 juta sebelum ini, program itu merupakan yang pertama daripada beberapa langkah dalam perancangan mereka.

“Ini termasuk pembiayaan bersama kempen Shop Malaysia Online yang akan datang sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menyokong PKS tempatan.

“Dengan pendekatan digital diterajui kerajaan ke arah penjanaan semula ekonomi negara daripada kelembapan baru-baru ini, Lazada bersama komuniti kami terdiri daripada pelanggan, penjual, jenama dan rakan kongsi akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara melalui ekosistem e-dagang kami,” kata Leo.

Rakyat Malaysia akan dapat menikmati penjimatan sehingga RM36 setiap satu melalui baucar dan rebat #KitaBantuKita semasa membeli-belah di Lazada.

Program insentif itu, bekerjasama dengan TNG Digital, akan mempercepatkan penggunaan platform digital dan pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit, serta membantu mereka kembali bangkit dan berkembang dalam normal baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Ignatius Ong berkata melalui program insentif #KitaBantuKita dengan Lazada Malaysia, syarikat akan terus membantu meningkatkan pemulihan ekonomi negara dan menggalakkan penyelesaian pembayaran yang mampan melalui Touch ‘n Go eWallet. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close