Malaysia

Sumbangan RM2 Juta Ikhlas, Bukan Permintaan Ahmad Zahid – Saksi

Seorang pengarah urusan Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa sumbangannya berjumlah RM2 juta kepada Sekolah Imtiaz Ulul Albab milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Masjid Tanah, Melaka, adalah ikhlas dan bukan atas permintaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-62, Mubarak Hussain Akhtar Husin, 44, berkata demikian ketika disoal balas peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, mengenai sama ada sumbangan itu diminta oleh anak guamnya.

Ketika ditanya oleh peguam itu sama ada beliau tahu sekolah tahfiz berkenaan dibiayai oleh Ahmad Zahid dan Yayasan Akalbudi, saksi terbabit berkata, “Tahu”.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan seorang lagi peguam, Hamidi Mohd Noh, bahawa sumbangan RM2 juta yang diberikan menerusi cek atas nama Tetuan Lewis & Co, iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid, adalah sumbangan peribadinya dan tiada isu ia daripada sumber tidak sepatutnya serta tiada kaitan dengan projek bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, ketika pemeriksaan semula, sama ada beliau pasti Lewis & Co adalah pemegang amanah Yayasan Akalbudi, Mubarak Hussain menjawab, “Saya pasti”.

Terdahulu, Mubarak Hussain yang merupakan rakan baik kepada Ahmad Zahid sejak 2008, turut mengesahkan cek berjumlah RM2 juta yang diperoleh daripada hasil perniagaannya, telah diterima oleh Lewis & Co pada 25 November 2016.

“Saya juga sahkan cek ini telah dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co oleh pekerja saya di Maybank Islamic Berhad, Jalan Tun HS Lee. Saya sahkan tandatangan pada cek ini adalah tandatangan saya sendiri dan tulisan tangan pada bahagian cek ini, adalah tulisan pekerja saya.

“Cek itu diberikan kepada Lewis & Co adalah sumbangan ikhlas bagi sekolah tahfiz Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Sekolah Imtiaz Ulul Albab). Saya hanya memberikan sumbangan ini bagi tujuan menampung kos bulanan sekolah tahfiz itu,” katanya membaca penyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffry Ong.

Selain itu, Mubarak Hussain berkata, beliau membeli Syarikat Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd pada 2002 daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Abdul Syukur’, kerana melihat syarikat terbabit ada kontrak dengan KDN bernilai RM20.5 juta selama dua tahun, dan akan disambung jika dipersetujui serta masih diperlukan oleh pihak kementerian berkenaan.

“Kontrak ini adalah kontrak imigresen, di mana ia menjalankan kontrak penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Kepada soalan tambahan Harris Ong, siapa yang mengarahkannya menulis Lewis & Co pada ruangan penerima cek, Mubarak Hussain menjawab, “Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi”.

Harris Ong: Mengapa Encik Mubarak guna cek peribadi untuk beri sumbangan?

Mubarak Hussain: Sebab saya sendiri ingin memberi sumbangan itu… Saya pernah pergi ke sekolah tahfiz ini sebanyak dua kali, sekolah ini boleh memuatkan kapasiti lebih 200 pelajar.

Sebelum itu, tiga saksi pendakwaan yang kesemuanya ahli perniagaan yang memberi keterangan, hari ini, memberitahu mahkamah bahawa mereka mendekati seorang lelaki bernama Omar Ali Abdullah untuk ‘menyelesaikan’ masalah kewangan mereka, dengan syarat, mereka mesti mengeluarkan cek kosong di bahagian penama.

Mereka mendakwa, Omar Ali dapat memberikan wang tunai bernilai ratusan ribu dan menyelesaikan masalah bagi syarikat. Omar Ali ada dilihat di mahkamah ketika prosiding, kerana pihak pendakwaan memerlukan saksi untuk membuat pengecaman ketika perbicaraan.

Dalam pertuduhan pengubahan wang haram yang ke-27, Ahmad Zahid didakwa telah mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20, kepada 30 keping cek yang kemudian telah diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co, untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close