Dimensi Bisnes

Maxis Galak Pelanggan Beralih Ke 4G

Maxis Bhd melancarkan inisiatif buat pelanggan yang masih menggunakan peranti 3G untuk menaik taraf ke peranti 4G termasuk Kempen Balas Budi 4G.

Ketua Pegawai Jualan & Perkhidmatan Maxis, Patrick Er, berkata pihaknya melaksanakan penamatan 3G dengan mengutamakan pelanggan dan komited untuk membantu mereka sepenuhnya.

Katanya, talian mereka sentiasa dibuka untuk sebarang pertanyaan, atau bantuan mengenai naik taraf.

“Kami juga meminta pengguna 4G kami di luar sana untuk mendorong keluarga dan rakan mereka yang masih menggunakan 3G, untuk mula beralih ke rangkaian dan peranti 4G, supaya mereka tidak ketinggalan,” katanya dalam kenyataan.

Penamatan 3G adalah inisiatif penting di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang sedang dilakukan oleh semua penyedia telekomunikasi dan akan selesai pada akhir 2021.

Tujuannya adalah supaya pelanggan menaik taraf ke rangkaian 4G yang lebih pantas dan dipercayai yang akan membolehkan kelajuan muat turun 10 kali lebih pantas daripada 3G, laman web segera dan strim video dan muzik yang lebih lancar.

Katanya, Kempen Balas Budi dengan 4G juga dilancarkan dengan tujuan untuk menyokong dan membantu pelanggan untuk bersedia dengan peralihan rangkaian.

“Kempen ini pada dasarnya mendorong pengguna 4G untuk menolong ibu bapa, keluarga dan rakan mereka yang masih menggunakan peranti 3G beralih ke peranti 4G dengan cepat, termasuk bagaimana boleh mendapat akses mudah ke peranti 4G.

“Bagi pelanggan yang perlu naik taraf ke peranti 4G, Maxis mempunyai promosi menarik dan banyak tawaran penggabungan peranti, termasuk pelan Zerolution dan Pelan Peranti RM1 dengan komitmen bulanan yang berpatutan.

“Pelanggan hanya perlu menghubungi Maxis melalui talian atau laman web Maxis, atau kunjungi mana-mana kedai Hotlink atau Maxis di seluruh negara,” katanya.

Walaupun penamatan 3G tidak mempengaruhi pengguna semasa Maxis 4G, mereka disarankan untuk mengaktifkan Voice Over LTE (VoLTE) pada peranti mereka.

VoLTE adalah teknologi canggih yang memberikan suara yang jelas melalui panggilan suara di seluruh rangkaian Maxis, dengan mengurangkan suara latar belakang dan kemampuan untuk melayari Internet dengan kelajuan 4G walaupun dalam panggilan.

Maxis melancarkan VoLTE pada Oktober 2020 secara berperingkat kepada pelanggan prabayar dan pascabayar.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai penamatan rangkaian 3G, atau bantuan naik taraf peranti, hubungi Maxis di 123 atau kunjungi https://www.maxis.com.my/en/faq/network/mobile/3g-sunsetting/.

Pelanggan Maxis Business, juga boleh menghubungi Pengurus Akaun atau 1919 untuk mendapatkan bantuan. – BH ONLINE/BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close