Malaysia

Melaka Dapat Tempias Tempahan Hotel Di Langkawi

Pemilik hotel di Melaka mula menerima tempahan penginapan walaupun negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan belum memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Urusan Hotel De Mawardah, Muhammad Akram Abdullah, berkata setakat ini syarikatnya masih mengekalkan semua pekerja walaupun hampir tiga bulan tidak beroperasi.

“Walaupun dikhabarkan terdapat hotel ditutup, kecekalan dan kegigihan untuk bertahan menjadikan saya sentiasa berusaha memastikan ia mendapat sambutan.

“Apatah lagi dengan pelbagai pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan dan rantaian COVID-19 dapat diputuskan menerusi normal baharu, industri pelancongan akan terus relevan,” katanya.

Beliau berkata, penggiat industri perhotelan dan pelancongan perlu selalu berbincang dengan kerajaan untuk meneliti strategi baharu memandangkan industri berkenaan bergantung harap kepada acara pelancongan yang sudah banyak dibatalkan demi tuntutan normal baharu.

“Mungkin sudah tiba masanya kita fokus kepada pelancongan pengalaman peribadi dengan produk seperti lawatan ke kampung unik, bengkel pembuatan makanan dan kraftangan dijadikan produk keutamaan.

“Produk pelancongan perlu dipakejkan bersama penginapan hotel bagi mengoptimumkan pendapat industri bersama. Dengan itu, kita dapat menyesuaikan dengan norma baharu menerusi kawalan jumlah pelancong dalam kumpulan kecil dalam satu-satu masa,” katanya.

Muhammad Akrab menyambut baik pelepasan cukai dan pengurangan serta penangguhan bayaran levi bagi perkhidmatan perhotelan dan pelancongan yang dapat mengurangkan impak terhadap perniagaan.

Justeru, beliau berharap rundingan antara kerajaan dan pembekal utiliti seperti elektrik dan air akan dibuat agar diskaun diberikan ke atas bil penggunaan oleh industri pelancongan dan perhotelan dalam memastikan kos perniagaan dapat dikawal baik agar aliran tunai mencukupi bagi menampung kos operasi seperti gaji pekerja.

Beliau menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil kesempatan terhadap pengumuman pelepasan cukai pendapatan individu hingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara seperti diumumkan dalam pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Inilah masanya rakyat membantu industri pelancongan dan perhotelan tempatan, selain pelbagai tawaran menarik pada harga berpatutan diberikan penggerak industri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Puteri Qashrina Chalet di Pantai Puteri dan Hotel di Tangga Batu, Nohisham Waled, berkata sudah hampir 200 tempahan dan pertanyaan setakat hari ini.

Beliau berkata, premis dengan jumlah keseluruhan membabitkan 64 bilik dan tiga kolam renang serta membabitkan 15 pekerja itu turut membuat potongan harga 10 peratus kepada pelanggan sehingga 31 Ogos depan.

Katanya, tempias tempahan di Langkawi juga bakal melimpah ke bandaraya berkenaan serta lokasi pelancongan lain di seluruh negara. – BERITA HARIAN ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close