Pembinaan Menara 118 sudah siap dan pelancaran rasmi bangunan pencakar langit kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai itu dijangka diadakan pada Januari 2024.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn, berkata kumpulan pertama yang akan berpindah ke menara ikonik itu dijangka dalam tempoh terdekat selepas mendapat kelulusan akhir untuk menduduki bangunan pencakar langit berkenaan.
Katanya, dari segi kadar penghunian pula, ia adalah memberangsangkan dan kemasukan adalah secara berperingkat dengan penyewa utamanya, Maybank dijangka berpindah menjelang 2025.
“Menara sudah siap. Insya-Allah kumpulan pertama akan berpindah masuk sebelum akhir tahun ini. Dek pemerhatian akan dibuka pada separuh kedua 2024.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini pembinaan Menara 118 yang dimiliki PNB menerusi anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd.
Ia akan menjadi mercu tanda baharu baharu ibu kota dengan bangunan pejabat premiumnya, hotel mewah, pusat membeli-belah moden, kediaman, tapak warisan, muzium dan masjid.
Menara 118 terdiri daripada kira-kira 18,000 panel kaca yang membentuk penampilan luar kristal menara yang direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, Australia.
Pembangunan Merdeka 118 yang menelan kos RM5 bilion itu mempunyai 3.1 juta kaki persegi ruang lantai dan dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, setinggi 500 meter.
Penyewa utama lain ialah hotel Park Hyatt bertaraf lima bintang, yang menduduki 17 tingkat (dari aras 100 hingga 117) dengan 252 bilik. – BH ONLINE