Governans

MSPO 2022 Perkukuh Kedudukan Minyak Sawit Malaysia Di Pasaran Global

Pelaksanaan Piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) MS2530:2022 (MSPO 2022) yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 dijangka memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit mampan serta mengukuhkan kedudukannya di pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Sustainable Palm Oil (MSPO), Hafizin Tajudin, berkata MSPO 2022 memperkenalkan garis panduan lebih ketat merangkumi aspek kemampanan, kebolehkesanan dan amalan etika dalam pengeluaran minyak sawit.

Menurutnya, pensijilan MSPO juga membantu memudahkan akses minyak sawit negara ke pasaran antarabangsa kerana ia selaras dengan pelbagai inisiatif kelestarian global.

“Pensijilan ini menyokong Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Agenda Kerja Saksama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Hafizin berkata, MSPO 2022 adalah versi terkini yang dikemas kini bagi mengukuhkan amalan kelestarian dalam industri minyak sawit.

Beliau menegaskan bahawa semua pengeluar minyak sawit Malaysia, termasuk ladang, kilang dan pekebun kecil, diwajibkan memperoleh pensijilan MSPO.

“Ladang kelapa sawit melebihi 40.47 hektar serta kilang minyak sawit diwajibkan memperoleh pensijilan MSPO sejak 1 Januari 2020, manakala bagi Pekebun Kecil Persendirian (ISH), pensijilan wajib bermula pada 1 Januari 2021,” katanya.

Bagaimanapun, pensijilan bagi fasiliti pemprosesan dan peniaga masih bersifat sukarela serta tertakluk kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk pelaksanaan mandatori pada masa depan.

Hafizin mengakui masih ramai, khususnya pekebun kecil, yang belum menyedari kepentingan pensijilan MSPO dalam memperkukuh industri minyak sawit negara.

“Pensijilan ini meningkatkan akses pasaran, mengukuhkan amalan kelestarian, memastikan ketelusan rantaian bekalan, pematuhan peraturan serta membina kepercayaan pengguna terhadap minyak sawit Malaysia.

“MSPO juga menyediakan jaminan ketelusan dalam menangani isu kelestarian dan perubahan iklim melalui sistem pengesanan produk sehingga ke sumber asalnya,” katanya.

Beliau berkata, pematuhan kepada standard MSPO yang selari dengan peraturan Malaysia turut membantu perniagaan dan pekebun kecil mengurangkan risiko berkaitan isu perundangan serta peraturan global. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close