Syarikat automotif tempatan, PERODUA didekati kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United bagi perbincangan mengenai potensi tajaan.
Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata pihaknya sedang menilai tawaran daripada juara EPL 20 kali itu.
“Baru-baru ini, saya ada menerima surat daripada Manchester United yang bertanya sama ada mereka boleh memaparkan logo PERODUA pada jersi mereka dan sama ada kami berminat untuk menaja mereka.
Asmat berkata minat daripada kelab bola sepak ternama seperti United menunjukkan PERODUA semakin dikenali di peringkat antarabangsa.
“Kami akan mempertimbangkannya, terutama untuk bola sepak di Malaysia,” katanya.
Sekiranya tajaan itu dimeterai, PERODUA bakal mengikut jejak langkah syarikat automotif antarabangsa lain seperti Chevrolet dari Amerika Syarikat dan Hyundai dari Korea Selatan yang sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama dengan United. – BH ONLINE