Kedai RuncitPilihan Editor

Mustafa Centre Bakal Buka Gedung Pertama Di JB

Mustafa’s Pte Ltd (Mustafa) yang mengendalikan gedung terkemuka Mustafa Centre di Singapura akan membuka gedung utama pertamanya di Johor Bahru, Malaysia, tidak lama lagi.

Ini susulan pengumuman yang dibuat oleh Capital World Ltd (Capital World) bahawa ia akan menjual kebanyakan ruang termasuk unit runcit di Capital City Mall di Johor Bahru kepada Mustafa dengan harga RM368 juta, dalam usaha pemaju hartanah itu untuk meningkatkan lembaran imbangannya dan mempercepat pemulihan syarikat.

“Selepas kejayaan pembukaan gedung runcit sehenti mega kami di Singapura bagi pelbagai barang daripada barangan pengguna laris hingga kepada barangan fesyen, kosmetik dan elektronik, kami percaya sudah sampai masanya bagi kami untuk menembusi pasaran Malaysia.

“Apatah lagi sekarang dengan sekatan pandemik sudah ditarik balik,” kata Pengarah Urusan Mustafa, Mustaq Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Singapore Exchange, pada Jumaat.

Menurutnya, satu daripada cabaran utama syarikat itu sehingga sekarang adalah mencari tapak yang sesuai.

“Capital City Mall memenuhi banyak keperluan bagi gedung utama pertama kami, memandangkan kedekatannya dengan Singapura serta ruang lantai yang luas,” katanya.

Ia juga akan membeli 374 bahagian aksesori yang termasuk kawasan terbuka dan kawasan pelbagai guna meliputi kawasan seluas 1.28 juta kaki persegi dan semua 2,181 lot parkir, katanya.

Syarikat itu berkata, pembelian oleh Mustafa menandakan penerokaan pertamanya sebagai pengendali gedung beli belah utama di Malaysia, pasaran yang sudah lama menjadi sasarannya untuk ditembusi.

Gedung beli belah itu adalah sebahagian daripada pembangunan bersepadu pegangan kekal di Tampoi yang juga akan termasuk 315 bilik hotel, menara 18 tingkat dengan 630 suite berperkhidmatan dan 690 apartment berperkhidmatan merangkumi tiga blok.

Mustafa adalah satu daripada peruncit terkemuka di Singapura yang menjalankan perniagaan lebih daripada lima dekad.

Gedung utama, Mustafa Centre, di Syed Alwi Road menawarkan pelbagai jenis barangan termasuk elektronik pengguna, barang kemas, mainan, fesyen, kosmetik dan barangan pengguna laris. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close