Kedai RuncitPilihan Editor

Kad Diskaun Khas Untuk Peniaga Menu Rahmah Diperkenal Hari Ini

Kad diskaun khas untuk peniaga Menu Rahmah akan diperkenalkan esok (hari ini), kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, inisiatif terbaru itu membolehkan peniaga membeli bahan mentah dengan potongan harga ditawarkan di enam pasar raya yang bekerjasama dengan kementerian terbabit.

“Esok saya akan turun bersama Timbalan Menteri (KPDN), bagi satu inisiatif terbaru iaitu penawaran kad diskaun rahmah kepada pengusaha kafe dan restoran yang terbabit dalam inisiatif ini.

“Ia sebagai insentif kepada mereka yang menyokong usaha kerajaan (melalui Menu Rahmah) selama ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menerusi inisiatif itu, ketulenan identiti peniaga Menu Rahmah yang ingin menebus potongan harga dapat dikenal pasti, sekali gus memudahkan transaksi tuntutan.

Selain itu, Armizan berkata, dalam usaha membantu rakyat terutama yang berpendapatan rendah, kementeriannya akan memperkasa Program Jualan Rahmah (PJR) di seluruh negara.

“PJR dirancang dilaksanakan dengan kekerapan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Bagi memastikan capaian PJR ini lebih meluas dan supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripadanya, PJR diperluaskan melalui kaedah secara bergerak.

“Kaedah ini bagi memastikan kawasan yang tidak mempunyai premis peruncitan yang sesuai bagi pelaksanaan PJR turut sama dapat menikmati manfaat (program ini) yang menawarkan jualan barangan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close