Pilihan EditorTwo Cents

NIRAF: Jelajah Pekerjaan Lepasan SPM

Oleh Nur Intan Rafeena Ahmad Fauzi

 

Jika dihitung-hitungkan masa, sudah lebih dua bulan sejak tamatnya kertas terakhir peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2020 lalu.

Waktu itu, ramai yang lega mengikut naluri perasaan masing-masing, mana tidaknya – sepanjang tahun lalu, sekejap ada kelas, sekejap tidak ada kelas.

Sekejap  sekolah dibuka,  namun lama “bebenor” sekolah ditutup.

Maka perasaan dan mental pastinya terusik, mungkin pada awalnya suka tapi apabila tarikh SPM semakin mendekati, tertekanlah pula malah terasa beban apabila tarikh SPM ditunda dua tiga kali.

Lebih teruji, penulis juga terkena tempias kontak rapat COVID-19 tidak sampai seminggu peperiksaan SPM sebenar, apa lagi terus bergegas buat SWAB-TEST.

Panik dan “tension”, itu perasaan sebenar-benarnya di samping berdoa pada Allah SWT.

Semuanya kerana pandemik COVID-19, tapi penulis redha kerana pastinya ada hikmah dari Maha Yang Esa !

Apapun para pelajar lepasan 2020 telah secara rasminya bebas dari cengkaman persekolahan pada pertengahan Mac lalu.

Sudah tentu lega dengan pengalaman yang sangat mencabar dan luar biasa bagi penulis sebagai pelajar SPM 2020.

Jadinya apa hendak buat selepas selesai peperiksaan SPM ini ? Apa hendak buat, kata kekawan penulis !

“Lepas SPM nak kerjalah”

“Lepas SPM nak ambil lesen dulu, tak sabar nak memandu sendiri.”

“Habis saja SPM, nak qada’ tidur secukupnya!”

Ini antara maklum balas pelajar lepasan SPM setelah ditanya tentang apa yang ingin dilakukan dalam cuti panjang pelajar-pelajar SPM 2020  sementara menanti keputusan yang makin mendekati.

Respons yang paling kerap dijawab dan diakui dinantikan pelajar  SPM 2020 ialah “momen” untuk bekerja sambilan.

Persoalannya, apakah signifikan bagi para pelajar lepasan SPM ini untuk bekerja?

Telah menjadi fitrah darah muda untuk sentiasa mencuba perkara baharu.

Sudah tentu, jawapan “cliché” kebanyakan dari pelajar yang berkeinginan untuk bekerja ini ialah demi memperoleh pendapatan sendiri.

Meskipun jumlahnya tidaklah terlalu mewah, namun itulah yang selayaknya diterima dengan kelayakan sedia ada – kan baru lepasan SPM yang masih menunggu keputusan lagi.

Duit gaji yang diperoleh itu semestinya mendatangkan kepuasan yang lain daripada lain kepada anak-anak muda ini kerana kesemuanya merupakan hasil titik peluh sendiri.

Ada juga antara pelajar yang bekerja dengan harapan dapat memperoleh serba sedikit pengalaman.

Antaranya ialah pengalaman dalam bidang F&B serta pengurusan.

Ironinya, kebanyakan pelajar-pelajar ini terus kekal sabar dalam bekerja meskipun menghadapi pelbagai dugaan.

Pengalaman diherdik kerana tidak melakukan pekerjaan dengan betul serta kepenatan setelah pulang daripada bekerja secara tidak langsungnya mendatangkan rasa insaf anak-anak muda.

Apatah lagi jika dikenang segala perit jerih ibu bapa membesarkan mereka selama ini.

Namun, dari sudut lain, terdapat juga pelajar yang bekerja disebabkan keperluan membantu keluarga.

Lazimnya, mereka sanggup bekerja dalam tempoh masa yang lama demi meringankan beban kewangan keluarga serba sedikit.

Keadaan sesetengah pelajar yang sebegini sememangnya membuka mata semua pihak kerana mereka ini sanggup berkorban masa berseronok pada waktu muda untuk menjaga kepentingan keluarga.

Meskipun dalam kebanyakan keadaan, tiada tuntutan mahupun sesiapa yang memaksa mereka untuk bekerja, rasa tanggungjawab dan simpati dalam diri anak-anak muda ini yang mendorong mereka untuk bertindak sedemikian.

Tidak kiralah apa sekali sebabnya, persoalan bahawa sama ada bekerja ini ialah keperluan atau kehendak bagi seseorang pelajar ini sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri.

Kelak setelah mula sibuk kembali menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi, saat-saat bekerja ini pastinya menjadi sesuatu yang dikenang-kenang kerana inilah permulaan bagi seseorang yang baharu hendak mula memahami dunia dewasa.

Apapun justifikasi akhirnya, semoga pemuda-pemudi harapan negara ini terus melakukan yang terbaik dalam segala apa yang dilakukan.

Semuanya demi masa depan diri, keluarga, agama dan negara.

Selamanya, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara! – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah seorang realis dalam dunia idealis.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close