Pilihan EditorTwo Cents

NIRAF: SPM, Suatu Permulaan Segalanya

Oleh Nur Intan Rafeena Ahmad Fauzi

Tanggal 10 Jun 2021bersamaan hari Khamis selamanya menjadi satu tarikh bersejarah bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 atau lebih dikenali sebagai Batch SPM ProMax.

Sejak Senator  Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan tarikh ini sebagai tarikh keputusan SPM, kesemua calon SPM 2020 mengalami saat-saat yang dapat diibaratkan seperti mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena menunggu tibanya tarikh ini.

Ketika keputusan SPM diumumkan tepat jam 10 pagi, pelbagai reaksi yang timbul.

Ada yang menangis penuh kesyukuran, ada yang mengutarakan penyesalan, ada juga yang terkejut tidak percaya dengan keputusan yang diterima, namun tidak kurang juga yang tidak bangun tidur lagi pada jam 10 pagi tersebut.

Namun apa yang pastinya, penerimaan keputusan SPM ini bukan penghujungnya lagi, bahkan menandakan permulaan segalanya bagi pelajar-pelajar ini.

Selepas ini, terbentang luas peluang, pilihan, kebebasan dan pengajaran yang bakal ditempuh kumpulan lepasan SPM belia ini.

Apa yang penulis harapkan ialah semoga tiada siapa yang patah semangat dahulu.

Hal ini kerana masih banyak perkara yang menanti pada masa hadapan.

Ingatlah bahawa, masa muda ini tidak seharusnya dibiarkan terbazir.

Warga belia harus mengekspresikan kegigihan dan kesungguhan untuk menjadi versi terbaik diri sendiri pada masa ini.

Jika ditakdirkan berlaku kesilapan dalam proses itu sekalipun, maafkanlah diri sendiri dan teruskan perjuangan.

Waktu muda ialah waktu puncak di mana fasa ini akan dikenang sehingga ke tua. Maka, pada waktu inilah belia seharusnya lalui tanpa ada penyesalan.

Jika seseorang belia mahu teruskan belajar, maka belajarlah sehingga sampai ke tahap yang tertinggi.

Jika seseorang belia mahu ceburi perniagaan, pelajarilah dahulu ilmu perniagaan supaya tidak mudah tertipu.

Bahkan jika belia tersebut mahu bekerja dahulu bagi menimba pengalaman sekalipun, timba sebanyak mungkin pengalaman.

Pokok pangkalnya ialah, dengan semangat kegigihan, tidak putus asa, percaya diri, berani mencuba, pastinya segalanya akan baik-baik sahaja.

Namun meskipun zaman sudah berbeza, jangan lupa juga untuk mendengar pesanan dan nasihat daripada orang-orang tua atau mereka yang lebih berpengalaman. Hal ini kerana pengalaman mereka itu boleh diambil sebagai pengajaran.

Ada kalanya, mungkin ada pendapat mereka yang tidak seiring dengan kita, namun ambil yang jernih, buang yang keruh.

Janganlah disebabkan perbezaan pendapat, kita bertindak kasar dan kurang ajar dalam membidas.

Penulis percaya asalkan belia tahu untuk membezakan baik dan buruk, warga belia akan dapat menempuh apa yang menanti di hadapan dengan jayanya.

Kesimpulan ringkasnya ialah, apa yang penting ialah kita teruskan memberikan sepenuh jiwa dan melakukan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan.

Bak kata hikmat bahasa Inggeris, “You only live once, but once is enough if you live it right.”

Semoga warga belia terus maju demi masa depan negara. Selamat mengejar kejayaan! – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah seorang realis dalam dunia idealis.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close