MalaysiaPilihan Editor

Operasi Mahkamah Syariah Perlu Dibuka Bagi Memastikan Pelaksanaan Penyampaian Perkhidmatan Keadilan Diteruskan – Kata Kaukus Kesejahteraan Rakyat

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menggesa agar Mahkamah Syariah di seluruh negara beroperasi sepenuhnya selaras dengan keperluan perkhidmatan utama (essential) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ahli Jawatankuasa Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Puan Asmak Husin berkata, pembukaan operasi Mahkamah Syariah ini adalah memastikan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan keadilan diteruskan yang melibatkan kepentingan utama masyarakat iaitu keluarga khususnya kepentingan wanita dan kanak-kanak.

“Saya percaya dan yakin operasi Mahkamah Syariah seluruh negara dapat digerakkan selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, menurut Asmak yang juga Ahli Dewan Negara, adalah dicadangkan agar kerajaan menggubal ordinan yang sesuai untuk memudahkan prosedur perbicaraan dan pengurusan kes lama ataupun baharu.

“Oleh itu, saya berharap mereka yang terlibat boleh merujuk mahkamah berdekatan kerana ia ditetapkan mengikut Jabatan Kehakiman Syariah Negeri masing-masing.

“Dalam hal yang sama, saya juga menegaskan agar kes nafkah diutamakan dan kepentingan wanita dan kanak-kanak terbela.

“Soal nafkah melibatkan isu berkepentingan utama keluarga, sara diri dan makan minum pihak terlibat terutamanya pada waktu mendesak sekarang,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Asmak memohon kepada kerajaan supaya mengambil perhatian serius terhadap kes-kes syariah melibatkan ibu tunggal atau keluarga yang diabaikan oleh ketua keluarga.

“Saya mendapat maklum bahawa masih ada ketua keluarga yang menerima bantuan kerajaan tetapi tidak sampai pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak termasuk yang masih dalam kes perbicaraan,” kata Asmak lagi.

Justeru, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara memohon kerajaan menyemak semula tindakan atau keputusan Mahkamah Syariah untuk memastikan ketua-ketua keluarga bertanggungjawab walaupun masih berlangsung kes Mahkamah Syariah mahu pun yang telah mendapat keputusan mahkamah. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close