Pilihan EditorTwo Cents

PANDANGAN: Belanjawan 2026 Tumpu Pemerkasaan Ekonomi MADANI, Kualiti Hidup Rakyat – Penganalisis

Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 10 Oktober ini dijangka memperkasakan lagi agenda Ekonomi MADANI dengan memberikan penekanan terhadap ketahanan fiskal, mengukuhkan asas-asas ekonomi dan meningkatkan tahap kualiti hidup rakyat.

Penganalisis RHB Investment Bank, Alexander Chia, berkata menurut pandangan awal belanjawan oleh Jabatan Ekonomi RHB, trend defisit fiskal diramalkan bertambah baik masing-masing sebanyak 3.5 peratus dan 3.2 peratus untuk 2026 dan 2027, dengan anggaran RM89 bilion perbelanjaan pembangunan pada tahun pertama Rancangan Malaysia yang Ke-13 (RMK13).

“Tahun 2026 akan menjadi peluang terakhir buat Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan reformasi dan usaha-usaha pertumbuhan yang lebih bermakna sebelum tanda-tanda semakin dekatnya pilihan raya umum (PRU) muncul pada 2027,” katanya dalam satu nota penyelidikan pasaran.

Beliau berkata, belanjawan tahunan kali ini juga dijangka memperhalusi perkembangan mengenai reformasi fiskal, dengan lebih banyak usaha yang perlu dilaksanakan.

Katanya, memandangkan usaha memanfaatkan sepenuhnya perbelanjaan mungkin akan menyebabkan lebih banyak subsidi bersasar dilaksanakan, penyepaduan fiskal hanya akan dapat dilaksanakan dengan mengembangkan asas hasil.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah yang berhati-hati supaya perniagaan tidak terlalu terbeban dengan usaha-usaha untuk menaikkan hasil pendapatan negara berikutan ketiadaan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Cabaran bagi kerajaan adalah untuk memastikan bantuan kewangan yang mencukupi untuk kumpulan berpendapatan lebih rendah, sementara mewujudkan sebuah ekosistem perniagaan yang sesuai untuk menarik pelaburan-pelaburan baharu demi membantu lebih banyak industri menaiki rantaian nilai.

“Tumpuan yang diberikan kepada penyampaian perkhidmatan dan pendigitalan merentasi seluruh sektor awam akan membantu mengumpul hasil pendapatan dengan memastikan sebarang ketirisan dana dapat dielakkan, namun pembaharuan hendaklah dilaksanakan dalam perkhidmatan penjawat awam untuk ia direalisasikan,” katanya.

Chia berkata, RHB Investment Bank berharap ikhtiar untuk memastikan Pensyarikatan Malaysia (Malaysia Inc) dapat menaiki rantaian nilai seharusnya membabitkan cadangan untuk melancarkan proses kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), menghapuskan halangan birokrasi berlebihan, menggalakkan pertumbuhan daya pengeluaran menerusi penggunaan automasi, serta pembangunan bakat termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Kami menanti-nantikan butiran mengenai Kerangka Insentif Pelaburan Baharu. Sektor pengguna pula seharusnya mendapat kelebihan daripada langkah-langkah sokongan lanjut untuk kumpulan berpendapatan lebih rendah dan bonus penjawat awam, walaupun produk-produk gula dan mudarat mungkin berdepan duti eksais yang lebih tinggi.

“Sektor automotif turut memerlukan dasar kawal selia yang lebih jelas. Ikhtiar yang boleh membantu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 amat dinanti-nantikan dengan pelabur juga berharap adanya usaha yang memberikan manfaat kepada kepada sektor pembinaan dan hartanah,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close