MalaysiaPilihan Editor

ROS Boleh Tentukan Usul Tambahan Sah Atau Tidak – Ismail Sabri

Keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) meluluskan usul dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang dilihat sebagai suatu pendirian yang membimbangkan.

Malah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia juga dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

Mengulas lanjut, beliau mengakui dalam UMNO sendiri terdapat dua pandangan berbeza mengenai status dan kedudukan usul itu dari segi Perlembagaan parti, dengan ada yang berpandangan ia bertentangan dengan ketetapan Perlembagaan.

“Kalau lihat fasal 8.1 Perlembagaan UMNO sendiri mengatakan PAU adalah kuasa tertinggi dalam menentukan perjalanan parti, namun ia tertakluk kepada Perlembagaan.

“Itu dalam Perlembagaan (yang mana) apabila disebut pemilihan hendaklah dipilih. (Maknanya) jawatan seperti pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) hendaklah dipilih (ada pemilihan) tiga tahun sekali atau (dibuat) penangguhan di peringkat bahagian,” katanya pada sidang media di Laman Media PAU 2022 hari ini.

Mengambil kira perkara itu, beliau menegaskan ahli akar umbi dan pemimpin yang tidak jelas dan mahu mendapatkan kepastian dari sudut perundangan mengenai usul tambahan itu boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ismail Sabri turut menjelaskan, usul itu masih terikat dengan notis usul seperti ditetapkan dalam fasal 10.1 perlembagaan UMNO.

“MKT mungkin boleh mencadangkan satu-satu usul. Ada yang berpandangan usul asalnya adalah membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden iaitu ada tujuh perkara yang dicadangkan, tetapi (ada) tambahan satu lagi usul.

“Jadi ada yang berpandangan tidak boleh ditambah seperti itu, kerana dari segi notis usul dalam fasal 10.1, usul dari bahagian mesti 14 hari notis dan usul dari MKT mesti tujuh hari.

“Usul tadi cuma semalam dibawa dan masukkan terus. Walaupun ada sebut pindaan (terhadap usul asal), pindaan kalau di bawah fasal 20.3 pun, mengatakan jika ada pindaan ke atas usul sama, kalau nak perbetulkan dari perkataan dan ayat, memang boleh, tapi bukan ditambah, itu pun ada pandangan berbeza.

“Ada yang kata kalau pengerusi benarkan, pun boleh. Ada kata tak boleh, sebab tertakluk kepada notis apa yang boleh dipinda, bukan ditambah macam itu saja,” katanya.

Ismail Sabri berkata, tidak pernah berlaku sehingga perwakilan membawa usul sedemikian dalam PAU kerana ia dilihat seolah-olah mengenepikan pandangan akar umbi.

“Zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) pun, 22 tahun dia jadi presiden tidak ada arahan yang keluar (dari PAU) tak boleh jawatan presiden dan timbalan presiden tak boleh dipertandingkan.

“Walaupun tidak ada yang lawan Dr Mahathir waktu itu, tidak bermakna (kena) keluar arahan tidak boleh ditandingi,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close