Ekosistem kewangan Islam yang semakin berkembang di Malaysia berpotensi menarik lebih banyak pelaburan bukan sahaja daripada negara Islam, malah dalam kalangan pelabur yang mementingkan prinsip etika dan tanggungjawab sosial.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Mohd Zukime Mat Junoh, berkata antara faktor penarik sistem kewangan Islam adalah memenuhi keperluan Syariah, ketelusan dan etika serta mempunyai diversifikasi pelaburan.
Menurutnya, pelabur daripada negara Islam mencari peluang pelaburan yang mematuhi prinsip Syariah manakala kewangan Islam yang berkembang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan ini.
“(Dari segi) ketelusan dan etika iaitu kewangan Islam menekankan prinsip ketelusan, keadilan dan tanggungjawab sosial yang menarik minat pelabur yang mencari pelaburan beretika dan bertanggungjawab.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM100 juta dalam usaha meningkatkan lebih banyak inovasi kewangan Islam.
Mengulas selanjutnya, Mohd Zukime berkata ekosistem kewangan Islam yang berasaskan keadilan, keseimbangan dan tanggungjawab sosial serta menekankan perkongsian risiko dan keuntungan serta melarang riba (faedah), spekulasi yang berlebihan perlu terus berkembang demi ekonomi negara.
Menurutnya, melalui usaha itu, Malaysia boleh mengukuhkan kedudukan sebagai pusat kewangan Islam global sekali gus menarik lebih banyak institusi kewangan dan pelabur asing supaya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Dengan mengelakkan riba dan spekulasi berlebihan, kewangan Islam cenderung lebih stabil dan berdaya tahan terhadap krisis kewangan. Ini dapat membantu mengurangkan volatiliti pasaran dan mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih stabil,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Nur Syaedah Kamis yang turut menghadiri GFIEF berkata, perkembangan ekosistem kewangan Islam adalah penting untuk memastikan objektif Syariah terutama penjagaan harta terus terjamin.
“Ekosistem ini mengikut prinsip Syariah untuk memastikan urus niaga dan pelaburan memberikan keuntungan kepada semua pihak berkepentingan termasuk golongan asnaf atau yang memerlukan.
“Proses pengedaran kekayaan dalam ekosistem ini memastikan kekayaan tidak dimonopoli oleh segelintir pihak sahaja tetapi dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Ini menyumbang besar kepada ekonomi negara dari segi kestabilan kewangan, diversifikasi pasaran, pengukuhan ekonomi domestik dan peningkatan kesejahteraan sosial,” katanya.
Menurutnya, pengukuhan ekosistem kewangan Islam yang berdaya tahan dan sejajar dengan perkembangan teknologi serta keperluan masyarakat membolehkan Malaysia mencapai pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Mengenai dana RM100 juta untuk meningkatkan inovasi sistem kewangan Islam, katanya langkah ini menunjukkan kerajaan sangat proaktif dalam memberikan peluang kepada pakar kewangan Islam di negara ini untuk berinovasi dalam mengembangkan ekonomi Islam yang tidak berfokus kepada keuntungan semata-mata.
“Insentif ini semestinya telah meningkatkan semangat pakar bidang kewangan Islam dalam industri dan akademik untuk bekerjasama rapat dan menyahut usaha kerajaan dalam mengembangkan ekosistem kewangan Islam,” katanya.
Menurutnya, hasil inovasi itu kelak sudah pasti dapat memberikan manfaat dan membela golongan asnaf atau tidak berkemampuan sekali gus memelihara kesejahteraan sosial dalam mengurangkan kemiskinan di negara ini. – -BERNAMA