Pasaran buruh Malaysia berdepan ketidakseimbangan apabila jumlah kemasukan baharu ke dalam tenaga buruh selepas ekonomi dibuka semula daripada pandemik adalah kira-kira lima kali ganda berbanding pekerjaan baharu yang diwujudkan.
Menurut Penyelidik PNB Research Institute (PNBRI), Farhana Roslan, kajiannya mendapati jurang itu melebar berbanding sebelum pandemik, apabila kemasukan baharu tenaga buruh adalah kira-kira tiga kali ganda jumlah pekerjaan baharu.
Katanya, lebih 1.7 juta kemasukan bersih direkodkan dalam tenaga buruh dalam tempoh lima tahun selepas pandemik sehingga 2025, ketika penciptaan pekerjaan masih belum berkembang pada kadar sama.
“Jumlah pekerjaan baharu sebelum pandemik menurun daripada kira-kira 170,000 pada 2015 kepada 100,000 setahun pada 2019, sebelum pulih kepada sekitar 130,000 setahun pada 2024 dan 2025.
“Sejak ekonomi dibuka semula, jumlah kemasukan baharu ke dalam tenaga buruh meningkat kepada kira-kira lima kali ganda berbanding jumlah pekerjaan baharu yang diwujudkan,” katanya dalam hasil kajiannya bertajuk ‘A Good Jobs Strategy for Malaysia’ yang diterbitkan baru-baru ini.
Mengulas lanjut Farhana berkata, keadaan itu berlaku walaupun kadar pengangguran utama kekal rendah, dengan kajian berkenaan berpandangan sektor tidak formal dan ekonomi gig mungkin menyerap sebahagian pertambahan tenaga kerja.
Ia katanya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kadar pengangguran utama mampu mencerminkan keadaan sebenar pasaran buruh.
“Cabaran lebih ketara bagi pekerjaan berkemahiran tinggi apabila sejak pandemik, jumlah graduan diploma dan ijazah adalah kira-kira tujuh kali ganda berbanding pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan setiap tahun.
“Bagi pemegang ijazah sahaja, jumlahnya kira-kira 4.5 kali ganda berbanding pekerjaan berkemahiran tinggi baharu, manakala kurang satu pertiga pekerjaan yang diwujudkan pada 2025 dikategorikan sebagai berkemahiran tinggi,” katanya.
Kajian itu turut mengetengahkan masalah gaji apabila kira-kira 30 peratus pekerja berada dalam kategori bergaji rendah pada Disember 2025, berdasarkan gaji sektor formal RM2,064.
Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding purata 13.9 peratus dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 2024.
Ia turut menganggarkan median gaji sebenar Malaysia hanya berkembang purata tiga peratus setahun sepanjang sedekad sehingga 2024.
Golongan muda antara yang paling terkesan. Bagi pekerja berusia 25 hingga 29 tahun, median gaji sebenar pada 2024 masih RM238 lebih rendah berbanding paras sebelum pandemik pada 2019.
Pada masa sama, bahagian pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal sekitar 33 hingga 34 peratus, selepas peningkatan yang dicatatkan sebelum pandemik sebahagiannya terhakis selepas 2020.
Analisis kertas perbincangan itu mendapati bahagian pampasan pekerja meningkat sebanyak 5.6 mata peratusan antara 2010 hingga 2020, tetapi susut semula sebanyak 3.8 mata peratusan antara 2020 hingga 2024.
Kemerosotan selepas pandemik sebahagian besarnya dikaitkan dengan pertumbuhan gaji yang lebih perlahan berbanding output dalam sektor, terutama perkhidmatan dan pembuatan.
Dari segi struktur pekerjaan, sebahagian besar pekerjaan baharu sejak pandemik tertumpu dalam sektor perkhidmatan, terutama perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta pengangkutan dan penyimpanan.
Hanya kira-kira satu pertiga pekerjaan perkhidmatan baharu datang daripada subsektor bergaji lebih tinggi seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan kewangan serta perkhidmatan lain, menyokong dapatan bahawa kebanyakan pekerjaan baharu berkemungkinan bergaji rendah. – BH ONLINE




