GovernansMalaysia

PARLIMEN: Agong Sambut Baik Usaha Kerajaan Tingkat Pelaburan Asing Berkaitan Teknologi, Digital

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan pelaburan asing berkaitan teknologi tinggi dan digital.

Pada masa sama, baginda bertitah agar pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini, perlu dilaksanakan dengan segera.

“Sistem perkhidmatan kerajaan juga hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.

“Ini bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa serta budaya “red tape” (kerenah birokrasi) yang menyusahkan urusan rakyat,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini, hari ini.

“Saya bersyukur melihat perkembangan ekonomi, termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik, nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.

“Pada tahun lepas, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara telah melepasi RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah agar agenda memperkasa ekonomi Bumiputera melalui kerjasama dan sokongan syarikat kerajaan terus dilaksanakan.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 18 hari bermula hari ini dan disusuli dengan persidangan Dewan Negara selama 13 hari bermula 3 Mac, 2025. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close