Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan secara dalam talian dan media sosial, yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan serta berpecah-belah.
Justeru titah baginda, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya itu dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul serta dipercayai.
Selain itu, Sultan Ibrahim menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan pelaburan asing berkaitan teknologi tinggi dan digital.
“Sistem perkhidmatan kerajaan juga perlu dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.
Sultan Ibrahim turut meminta semua pihak menjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026, yang bukan saja akan memperlihatkan keunikan budaya dan nilai murni masyarakat tempatan, malah membuka peluang ekonomi serta mengukuhkan imej negara di mata dunia.
“Semua pihak perlu berusaha menjayakan kempen ini, terutama dalam memastikan negara kita selamat dan bersih.
“Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor dan kadar jenayah yang tinggi,” katanya. – BERNAMA/BH ONLINE