Kerajaan bercadang memberikan insentif kepada penternak ayam yang menggunakan makanan ternakan yang dihasilkan daripada sisa sawit sebagai makanan tambahan bagi haiwan ternakan mereka.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata langkah itu sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada makanan ternakan import.
“Kita mahu menggalakkan (penternak) menggunakan bahan sisa ini sebagai makanan tambahan kepada yang dibeli daripada luar negara seperti jagung dan kacang soya.
“Kita mahu memberi insentif supaya jika dia pakai lima hingga 10 peratus bahan ini, dia akan dapat insentif dari segi pengeluaran ayam ini dan kita mungkin akan nak galakkan.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai kerjasama kementerian dengan kerajaan Terengganu dalam usaha menghasilkan makanan ternakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan import.
Beliau memaklumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pernah mewujudkan sebuah kilang menghasilkan makanan haiwan daripada sisa sawit sebelum ini, namun disebabkan lokasinya jauh dari industri penternakan, ia gagal bertahan.
“Kos logistik yang perlu ditanggung untuk pemain industri membawa keluar bahan itu menyebabkan harga tidak kompetitif jika dibandingkan dengan makanan biasa dan akhirnya, kilang itu ditutup kerana (memang) ada manfaat tetapi salah tempat.
“Justeru, saya beritahu pada masa akan datang, mana-mana kerajaan negeri yang hendak bekerjasama dengan agensi ini, saya alu-alukan dan saya sendiri akan terbabit tapi sebelum letakkan apa saja pelaburan, saya nasihatkan mesti berbincang dengan pemain industri itu,” katanya.
Sementara itu, Johari berkata, kementerian menerusi MPOB konsisten melaksanakan aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) teknologi hijau bertujuan mengenal pasti bahan sisa sawit untuk diintegrasikan semula dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.
“Sebagai contoh, tandan buah kosong (EFB), ‘mesocarp fibre’ dan hampas cengkerang sawit (palm kernel shell) ialah sisa biojisim sawit yang boleh menjana tenaga boleh diperbaharui. Bahan sisa ini akan dibakar di dalam dandang.
“Wap yang dihasilkan akan menggerak turbin untuk menjana tenaga elektrik yang dapat dimanfaatkan semula dalam kilang sawit,” katanya.
Beliau berkata, menjelang 2030, industri biojisim dijangka menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion.
“Hal ini dijangka dapat mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor biojisim, membabitkan industri penghasilan biopelet, penjanaan tenaga daripada biojisim, pulpa dan kertas, karbon terawat serta penghasilan biobaja,” katanya. – BH ONLINE