Duniaku TeknokratGovernans

LKAN 1/2025: 40 Syarikat Subsidiari Agensi Persekutuan Rugi Lebih RM2.66 Bilion

Sebanyak 40 syarikat subsidiari daripada lima agensi Persekutuan mencatatkan kerugian berjumlah RM2.66 bilion dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan kesusutan paling tinggi pada 2023.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025: Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023, 21 syarikat subsidari di bawah KWSP mencatatkan kerugian paling tinggi membabitkan nilai RM0.94 bilion.

Ini diikuti lima syarikat subsidiari di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mencatatkan kerugian berjumlah RM0.72 bilion, diikuti empat syarikat subsidiari Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerugian RM0.69 bilion.

Dua syarikat subsidiari FELDA pula merekodkan kerugian berjumlah RM0.17 bilion, manakala lapan syarikat di bawah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatatkan kesusutan RM0.14 bilion.

Secara keseluruhan, analisis audit melaporkan 86 syarikat subsidiari atau mewakili 39.6 peratus daripada keseluruhan 217 syarikat merekodkan kerugian berjumlah RM2.81 bilion pada 2023, manakala 131 lagi atau 60.4 peratus mencatat keuntungan berjumlah RM4.087 bilion.

 

KWSP menerusi 21 syarikat subsidarinya mencatatkan kerugian bernilai RM0.94 bilion.
KWSP menerusi 21 syarikat subsidarinya mencatatkan kerugian bernilai RM0.94 bilion.

 

 

KWSP menerusi 21 syarikat subsidarinya mencatatkan kerugian bernilai RM0.94 bilion.
KWSP menerusi 21 syarikat subsidarinya mencatatkan kerugian bernilai RM0.94 bilion.

 

Sementara itu, analisis sama turut melaporkan 21 syarikat subsidiari bagi lima agensi Persekutuan sama merekodkan kerugian bagi tempoh tiga tahun berturut-turut antara 2021 hingga 2023.

TH sebagai contoh melalui dua syarikat subsidiari iaitu LTH Property Holdings 3 Limited dan LTH Property Holdings 2 Limited yang diperbadankan di United Kingdom (UK) merekodkan kerugian paling tinggi dengan RM465.18 juta pada 2023, meningkat berbanding RM97.55 juta pada 2022 dan RM22.25 pada 2021.

KWSP pula melalui 11 syarikat subsidiarinya merekodkan kerugian RM224.21 juta pada 2023 sahaja, diikuti FIC Properties Sdn Bhd di bawah FELDA (RM81.97 juta), tujuh syarikat subsidiari di bawah KWAP dengan kerugian RM81.97 dan dua syarikat subsidiari LTAT dengan kerugian terkumpul RM37.08 juta.

Pada 2023 juga, sejumlah 21 syarikat subsidiari iaitu 12 syarikat beroperasi di luar negara dan sembilan dalam negara mengalami kerugian bernilai RM970.55 juta.

Melalui penjelasan diberikan, Syarikat LTH Property Holdings 2 Limited dan LTH Property Holdings 3 Limited yang masing-masing dimiliki TH mengalami kerugian akibat peningkatan rosot nilai hartanah pelaburan dipengaruhi kadar faedah dan inflasi semasa yang meningkat di United Kingdom (UK).

Tiga syarikat subsidiari milik KWSP iaitu KWASA Europe S.à.r.l, KWASA Europe-I S.à r.l dan Naungan Sentosa Sdn Bhd pula mengalami kerugian akibat struktur modal syarikat subsidiari yang sebahagian besarnya dalam bentuk pinjaman pemegang saham.

KWSP sebagai pemegang saham tunggal syarikat mendapat pulangan dalam bentuk faedah pendapatan dan digunakan untuk membayar dividen kepada pencarum.

Sementara itu, Ameen Direct Equity I, L.P. selaku dana baharu ditubuhkan pada 2021 dengan tumpuan pelaburan jangka panjang, masih belum menjana pendapatan mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi.

Di bawah FELDA, syarikat FIC Properties Sdn Bhd mengalami kerugian kerana belanja kos kewangan pembiayaan dan penjejasan nilai pelaburan dalam syarikat bersekutu.

Syarikat subsidiari milik KWAP iaitu Prima Harta 5 (Jersey) Unit Trust mengalami kerugian akibat peningkatan rosot nilai hartanah pelaburan yang berlaku selepas penurunan risiko pasaran hartanah di UK pada 2022 dan 2023, walaupun mencapai kadar penghunian bangunan konsisten sebanyak 99.6 peratus bagi kedua-dua tahun.

Dua syarikat subsidiari milik LTAT, iaitu Irat Properties Sdn Bhd dan Irat Hotels & Resorts Sdn Bhd mengalami kerugian akibat kos kewangan tinggi, kerugian nilai saksama ke atas pelaburan hartanah dan kerugian kredit dijangka. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close