Governans

PARLIMEN: Kerajaan Sedang Kaji Naikkan Ambang Pendapatan T15 Kepada RM15,000 – RM20,000 – PM Anwar

Kerajaan sedang mengkaji paras ambang pendapatan bagi golongan T15 daripada RM13,000 yang ditetapkan Jabatan Perangkaan (DOSM) ketika ini kepada RM15,000 hingga RM20,000.

Perdana Menteri berkata, perkara itu sedang dikaji selepas ada pandangan yang menyatakan jumlah yang ditetapkan Jabatan Perangkaan itu, terlalu rendah.

“Dan adakah kita fikir akan naik RM15,000 atau RM20,000, itu sedang dibincangkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai pentafsiran T15 yang dibuat secara individu, termasuk oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kerana masih tiada definisi jelas mengenainya.

Katanya, langkah itu bagi menaikkan sedikit kuantum T15 supaya tidak membebankan dan pendapatan seisi keluarga tidak terikat dengan ambang sedia ada.

“Itu mungkin pendapatannya agak sedikit rendah, maka dinaikkan. Ini bukan perkara baharu sebab dalam penyelarasan subsidi diesel digunakan prinsip yang sama,” katanya

Perdana Menteri turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang dilihat menjadi ‘jaguh’ T15, sedangkan rakyat terbanyak iaitu 85 peratus tidak akan terkesan dengan penyasaran subsidi RON95.

“Jika dikatakan jangan bebankan dalam kalangan T15 yang pendapatan itu rendah, saya boleh terima dan itu yang menyebabkan kita membuat keputusan daripada T20 kepada T15.

“Bila kita pertahan T15, kita pertahan semua, orang dapat RM100,000 atau RM1 juta sebulan, ada. Jadi mengapa tidak ada pendirian untuk menyatakan ya, wajar kita kenakan bayaran semasa ikut pasaran kepada golongan maha kaya dan golongan teratas, itu pun tidak boleh,” katanya.

PM jawab harga minyak tak diturunkan

Perdana Menteri turut menjawab gesaan sesetengah pihak supaya harga minyak diturunkan, seperti yang pernah diusulkan beliau ketika berada dalam pembangkang.

“Kadangkala, dinyatakan saya selalu bandingkan dengan Arab Saudi, tapi itu dipadamkan. Jadi tidak ada keikhlasan dalam berhujah tetapi hanya bermain sandiwara politik kerana Saudi sekarang (harga minyah) RM2.62 dan ketika kita usulkan, harganya 50 sen. Mengapa tidak dihujahkan hal ini?

“Jika turun mendadak, maknanya projek rakyat itu terpaksa dikurangkan. Jadi kita ada pilihan di sini, sebab itu kita akan naikkan ikut harga pasaran kepada warga asing, bukan warganegara dan juga T15,” katanya.

Tiada kecalaruan dalam takrifan T15

Sementara itu, menjawab soalan Nik Muhammad Zawawi mengenai pentafsiran T15 yang dibuat secara individu, Perdana Menteri berkata, tidak pernah ada kecelaruan dalam tafsiran bagi kategori itu.

“Saya dengar ucapan, baik oleh Menteri Ekonomi atau Kewangan. Kita kata, Jabatan Perangkaan sekarang menetapkan RM13,000,00 dan kita fikir agak rendah, dan apakah kita fikir naik (kuantum) T15 atau T20, itu sedang dibincangkan, ya.

“Jadi, tidak ada percanggahan sama sekali dan ini kita rujuk kepada Mesyuarat Jemaah Menteri, mengapa kita tetapkan T15 itu ditingkatkan jumlah pendapatan,” katanya.- BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close