Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Esok (2 September 2020) bakal menyaksikan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14.
Pelantikan baharu itu susulan bagi menggantikan penyandangnya, Tan Sri S Vigneswaran yang tamat tempoh pada 22 Jun lalu.
Antara nama yang kuat disebut ialah Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Rais Yatim yang mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara pada 16 Jun lalu, dikatakan bakal menggantikan Presiden MIC itu yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara pada 26 April 2016 semasa pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional.
Nama lain yang kuat bertiup ialah veteran politik tanah air Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad, yang menyertai Bersatu.
Beliau adalah orang lama Perlis. Antaranya, pernah menjadi Ahli Parlimen Kangar, Menteri Dalam Negeri, Ketua Bahagian UMNO Kangar, dan juga Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Radzi yang juga anak bekas Menteri Besar Perlis, Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd Hashim, adalah tokoh politik yang aktif sewaktu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kangar ketika itu pernah beberapa kali memegang jawatan Kabinet sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kali terakhir sebagai Menteri Dalam Negeri pada 2004.
Selain itu ada tiga lagi nama senator yang turut dikemukakan sebagai calon Yang di-Pertua Dewan Negara yang kemungkinan mencatatkan sejarah sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang termuda dalam sejarah institusi Dewan Negara itu sendiri.
Beliau adalah Yusmadi Yusoff dari parti PKR berusia 45 tahun, di samping calon lain iaitu Datuk Theodore Douglas Lind (Warisan) dan Datuk Seri Muhammad Ali Mohammad (Umno).
Pelantikan proses kerusi Yang di-Pertua mestilah juga seorang ahli Dewan Negara. Yang di-Pertua Dewan Negara dibantu oleh seorang Timbalan yang hendaklah juga seorang ahli Dewan Negara.
Tugas-tugas Yang di-Pertua Dewan Negara adalah seperti berikut:-
- bertanggungjawab mengawasi perjalanan mesyuarat supaya berjalan dengan licin
- memastikan perbahasan ada berkaitan dengan perkara yang dibahaskan
- membuat keputusan mengenai Peraturan-peraturan Mesyuarat sekiranya berlaku perbalahan.
Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli.
Dewan Negara terbahagi kepada dua kategori seperti berikut:- 26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli). 44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.
Fungsi Dewan Negara adalah meneliti dan mengesahkan undang-undang yang dibuat oleh Dewan Rakyat. – BACALAHMALAYSIA.MY