Malaysia

PARLIMEN: RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 Mampu Perkukuh Prinsip Pemisahan Kuasa – BBC

Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini, disifatkan mampu memperkukuhkan prinsip pemisahan kuasa serta memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Mohd Shahar Abdullah, berkata pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen melalui RUU itu antara lain menunjukkan usaha kerajaan memperkasakan kebebasan, autonomi dan kebertanggungjawaban Parlimen sebagai institusi legislatif negara.

Selain itu, beliau berkata, Parlimen melalui pengembalian akta berkenaan akan mempunyai kuasa penuh untuk menggubal undang-undang, melaksanakan mekanisme semak dan imbang lebih berkesan, serta memastikan wacana bermakna demi kepentingan rakyat.

“Antara aspek penting dalam RUU ini ialah kebebasan dana dan kawalan kewangan institusi Parlimen.

Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata demikian pada sidang media selepas RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan secara sebulat suara, 33 tahun selepas Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan pada 1992.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, RUU berkenaan turut memperkenalkan model hibrid bagi meningkatkan kecekapan Parlimen.

Beliau berkata, pendekatan itu dapat memastikan kelancaran operasi, selain mengekalkan kepakaran khusus dalam urusan perundangan serta memenuhi keperluan semua pihak, termasuk Ahli Parlimen dan pegawai berkaitan.

“BBC kekal teguh menyokong segala inisiatif memperkukuhkan institusi demokrasi dan memastikan keluhuran Perlembagaan terus dipertahankan.

“BBC juga bertekad memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan benar-benar bebas, berkesan dan selari aspirasi rakyat.

“Pengembalian akta ini adalah kemenangan besar bagi demokrasi negara, dan kami menantikan pelaksanaannya yang efektif bagi meningkatkan akauntabiliti serta kredibiliti Parlimen demi masa depan negara lebih gemilang,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close