Selepas 33 tahun Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan, Dewan Rakyat hari ini, mengulangi sejarahnya apabila meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025, secara sebulat suara.
RUU berkenaan bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan perkhidmatan Parlimen dan Majlis Perkhidmatan Parlimen serta pentadbiran perkhidmatan Parlimen dan perkara berkaitan.
Akta Perkhidmatan Parlimen pertama kali diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992.
RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada 27 Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, lebih penting untuk menentukan kesimpulan Parlimen Malaysia sebagai sebahagian daripada ketelusan untuk bergerak ke arah kebebasan profesionalisme dan berfungsi sebagai badan legislatif berkesan.
“Memang betul undang-undang ini bersifat organik dan ia akan sentiasa dinaik taraf (dan) dipinda kerana ini adalah undang-undang untuk kita (ahli Dewan Rakyat).
“Ahli Parlimen dan kitalah yang membuat undang-undang serta insya-Allah isu yang dibawa ini akan kita kendalikan dari semasa ke semasa.
“Ini akan memberi maksud sebenar selepas kelulusan RUU ini, (Parlimen Malaysia) akan bergerak ke arah kebebasan profesionalisme dan berfungsi sebagai badan legislatif serta sangat sangat berkesan,” katanya menggulung perbahasan RUU itu.
Bahagian III RUU itu memperkatakan peruntukan mengenai Setiausaha Dewan Negara (SUDN) dan Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR).
Fasal 6 bertujuan memperuntukkan SUDN dan SUDR hendaklah berada di bawah arahan dan kawalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Fasal sama juga bertujuan mengadakan peruntukan bagi Yang di-Pertuan Agong menetapkan kelayakan untuk lantikan dan syarat perkhidmatan SUDR serta SUDR, selepas berunding denganMajlis Perkhidmatan Parlimen.
Fasal 12 pula bertujuan menghendaki kerajaan memperuntukkan dana tahunan mencukupi bagi perkhidmatan Parlimen untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya.
Selain itu, fasal 13 bertujuan mengadakan peruntukan bagi saraan dan faedah lain kepada anggota perkhidmatan Parlimen.
RUU berkenaan akan membabitkan kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan yang jumlahnya belum ditentukan ketika ini.
Akta itu membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, melaksanakan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya. – BH ONLINE