MalaysiaPilihan Editor

Pemandu e-Hailing Perlu Latihan Khusus Bawa Pesakit COVID-19

Pemandu perkhidmatan e-hailing yang membawa pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), perlu diberi latihan khusus bagi mengelakkan risiko jangkitan wabak itu.

Pakar kesihatan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata latihan itu penting bagi memastikan pemandu berkenaan tidak terdedah jangkitan daripada penumpang, terutama dalam situasi penularan varian membimbangkan (VOC) ketika ini.

Beliau berkata, beberapa aspek penting perlu diberi penekanan dalam latihan itu, termasuk memastikan pemandu memakai alat perlindungan diri (PPE) dan melakukan sanitasi yang betul terhadap kenderaan selepas menurunkan pesakit COVID-19.

Katanya, pemandu perkhidmatan e-hailing yang khusus bagi membawa pesakit COVID-19 juga wajar dipertimbangkan berikutan kekangan dihadapi ambulans dalam menghadapi pandemik ketika ini.

“Namun, mereka mestilah pemandu khusus yang hanya boleh membawa penumpang positif COVID-19, selain menerima latihan bagi mengelakkan turut dijangkiti.

“Bahaya jika pemandu perkhidmatan e-hailing membawa penumpang COVID-19 tanpa diberi latihan dan garis panduan yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Menjelaskan lanjut, Dr Sharifa Ezat berkata, kenderaan perkhidmatan e-hailing juga perlu dilengkapi penghadang plastik bagi memisahkan pemandu dengan pesakit yang dibawa.

Beliau berkata, ia penting berikutan keadaan kenderaan yang tertutup boleh meningkatkan risiko jangkitan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close