HSBC Malaysia dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) telah membolehkan pembayaran tanpa sentuhan DuitNow QR untuk hospital di bawah KPJ Healthcare Bhd bermula dengan cawangannya di Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, HSBC dan KPJ Healthcare berkata KPJ Tawakkal pada 4 Mei lepas menjadi hospital pertama di rantaian hospital KPJ Healthcare yang menggunakan DuitNow QR, standard kod QR nasional yang dibangunkan seiring dengan Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia.
Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia Bhd Andrew Sill berkata pesakit boleh membuat tempahan terlebih dahulu untuk program kesihatan dan pemeriksaan COVID-19 mereka dengan mengimbas Kod Quit DuitNow yang terdapat di kios pembayaran, laman web, aplikasi mudah alih, Instagram atau di KPJ Tawakkal Drive-Thru Facebook.
“Kerjasama kami dengan PayNet telah membolehkan kami untuk menyokong KPJ bagi menawarkan pembayaran Quit DuitNow dengan cepat kepada pesakit dan pelanggan mereka.
“Kami akan melancarkan mekanisme pembayaran tanpa sentuhan ini ke 14 hospital KPJ yang lain pada bulan Jun 2020, setelah mengetahui betapa pentingnya bagi kita untuk melakukan transformasi digital dengan pantas terutama untuk penjagaan kesihatan kerana ia terus menjadi sektor penting bagi Malaysia,” katanya. – BERNAMA