GovernansMalaysia

Pembukaan Parlimen Isnin Ini, Titah Agong Tumpuan Utama

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan bermula Isnin ini dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu menjadi tumpuan utama.

Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan titah ucapan diraja itu bagi perasmian kedua-dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 itu akan disiarkan secara langsung bermula 10 pagi menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari, menurut takwim itu.

Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.

Dalam pada itu, antara agenda penting pada persidangan Dewan Rakyat kali ini adalah pembentangan untuk bacaan kali kedua beberapa RUU antaranya RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024, RUU Majlis Media Malaysia 2024 serta RUU BERNAMA (Pindaan) 2024.

Selain itu, Kertas Putih Agenda Negara Menua juga akan dibentang di Dewan Rakyat yang menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata perjalanan persidangan Dewan Rakyat kali ini akan dilaksanakan secara lebih tegas dengan tidak membenarkan sebarang tindakan ‘mainan politik’ dalam kalangan Ahli Parlimen ketika majlis mesyuarat berlangsung.

Bagaimanapun, beliau yakin semua Ahli Parlimen akan mempamerkan sikap profesional dan lebih matang dalam membincangkan isu rakyat.

“Perbincangan Ahli Parlimen perlu lebih fokus kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Saya juga akan lebih bertegas dan tidak akan membenarkan permainan politik (ketika persidangan) berterusan.

“Tumpuan persidangan juga perlu diberikan kepada inti pati Titah Diraja, saya jangka ia menyentuh soal pembangunan negara kerana tahun lepas kita melihat petunjuk serta prestasi baik ekonomi, di samping Kepengerusian ASEAN dan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close