Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing akan ditetapkan pada kadar dua peratus, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kadar itu adalah sangat rendah dan tidak membebankan majikan berbanding cadangan asal pada kadar 12 peratus.
“Kadar caruman KWSP pekerja asing adalah dua peratus dan kadar itu akan dikekalkan hingga situasi lebih baik,” katanya dalam ucaptama sempena Rumah Terbuka Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), hari ini.

Anwar sebelum ini dalam pembentangan Belanjawan 2025 berkata kerajaan komited untuk memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa.
Beliau berkata, kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warga negara untuk mencarum KWSP.
Pakar perlindungan sosial juga sebelum ini menyatakan langkah mewajibkan caruman KWSP oleh pekerja asing mengikut kadar sama seperti pekerja tempatan, jika dilaksana, dijangka menjana tabungan tambahan kira-kira RM7 bilion setahun kepada ekonomi.
Pada masa ini, kadar caruman bagi pekerja tempatan ialah masing-masing 13 peratus dan 11 peratus untuk majikan dan pekerja. – BERNAMA