DiGi.Com Bhd, Petronas Gas Bhd dan Nestle (Malaysia) Bhd disenaraikan dalam kalangan 100 syarikat paling inklusif dan pelbagai di dunia, demikian menurut Indeks Kepelbagaian & Keterangkuman Refinitiv.
Tiga syarikat Malaysia itu juga adalah antara 21 firma Asia Pasifik yang tersenarai dalam indeks itu, yang mengkaji kira-kira 10,000 firma yang mewakili 80 peratus permodalan pasaran global.
Industri yang menerajui Indeks 100 Teratas untuk tahun ini adalah perbankan, perkhidmatan pelaburan dan firma insurans, diikuti oleh farmasi, perkhidmatan telekomunikasi, peruncit, produk dan perkhidmatan peribadi serta isi rumah.
Firma dari Amerika Syarikat (AS) mendahului senarai 100 teratas diikuti oleh United Kingdom, Australia, Kanada dan Perancis.
Pengarah Urusan Asia Pasifik Refinitiv, Alfred Lee, berkata 21 firma dari lapan negara Asia Pasifik adalah antara yang tersenarai dalam indeks 100 teratas global kali ini.
“Kami melihat kemajuan yang memberangsangkann syarikat Asia Pasifik dalam usaha mereka untuk meningkatkan kepelbagaian dan keterangkuman di tempat kerja.
“Data kami menunjukkan peningkatan 53 peratus dalam campuran jantina bagi lembaga pengarah sejak lima tahun kebelakangan ini dan kenaikan 78 peratus bilangan syarikat Asia Pasifik yang mempunyai dasar kerja fleksibel sepanjang tempoh sama.
“Memandangkan pelabur dan perniagaan memberi lebih perhatian kepada amalan dan pendedahan ini, kami yakin lebih banyak organisasi akan mengambil langkah meneraju serta menanamkan kepelbagaian dan penyertaan ke dalam strategi perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan ASEAN Refinitiv, Vernice Moh, berkata enam syarikat ASEAN dari Malaysia, Singapura dan Thailand turut tersenarai dalam 100 teratas dengan firma dari Thailand, Home Product Center PCL menerajui senarai negara serantau.
Beliau berkata, data Refinitiv juga mendapati Malaysia dan Singapura masing-masing menyaksikan peningkatan sebanyak 89 peratus dan 88 peratus dalam kepelbagaian jantina lembaga pengarah dalam tempoh lima tahun terakhir ini, yang juga direkodkan sebagai peningkatan terbesar wanita di seluruh dunia.
“Walaupun masih ada ruang untuk negara Asia Tenggara mewujudkan tenaga kerja yang lebih pelbagai dan inklusif berbanding global, pelaporan data dan sasaran yang telus akan membolehkan syarikat ASEAN berkongsi amalan terbaik dan meningkatkan kemajuan rantau ini untuk beberapa tahun akan datang,” katanya. – BERITA HARIAN