Pilihan EditorTurun Naik

Pemerkasaan Bahagian Forensik Teknologi Lonjak Reputasi SPRM

Oleh Datuk Husin Mohamad Nasir

KEPESATAN teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia digital yang sentiasa berubah menyebabkan sesuatu kes jenayah semakin kompleks dan rumit disiasat serta diselesaikan.

Malah, cabaran membawa penjenayah ke muka pengadilan semakin besar sekiranya agensi penyiasatan tidak dilengkapi peralatan atau perisian canggih serta pegawai berkepakaran, apatah lagi membabitkan kes berprofil tinggi atau memerlukan pembacaan data digital.

Teknologi digital bukan sahaja mampu membantu memendekkan tempoh siasatan, bahkan memperhalusi fokus siasatan. Oleh itu, kepentingan penyiasatan digital forensik amat relevan terutama dalam menyelesaikan kes jenayah, sekali gus melindungi individu berpotensi menjadi mangsa dan organisasi itu sendiri, sekali gus memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ketinggalan memiliki kepakaran dalam kaedah penyiasatan digital menerusi penubuhan Unit Forensik Komputer di bawah Bahagian Siasatan pada 2003. Unit ini dikembangkan menjadi Cawangan Forensik dan Teknologi pada 2006 hingga berupaya menganalisis komputer serta telefon bimbit.

Bahagian ini menjadi tulang belakang menyumbang kejayaan membongkar penyelewengan dan amalan rasuah seperti Op Pasir pada 2010; Op Sealord (2015); Op Water (2016); Op Mysikap (2019) dan Op Hack (2021). Dalam operasi kes ini, BFT turut turun ke lokasi bagi mengenal pasti bahan bukti digital.

Antara kekuatan BFT juga dapat menganalisis pengubahsuaian dokumen, tandatangan dan tulisan tangan dengan terperinci. Data didapati daripada barang kes dapat mengukuhkan pembuktian di mahkamah.

Tingkat pengetahuan, kepakaran pegawai

Dalam usaha meningkatkan reputasi BFT, SPRM dalam proses mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Antarabangsa (ISO) daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM) bagi makmal forensik digital, termasuk kualiti tatacara kerja forensik.

Jika ISO diperoleh, ia akan menjadikan makmal forensik digital pertama di negara ini mendapat pengiktirafan JSM bagi keseluruhan empat makmal, iaitu Makmal Forensik Komputer, Makmal Forensik Telefon Bimbit, Makmal Forensik Audio/Video dan Makmal Forensik Dokumen.

Malah, siasatan dan bukti dikemuka SPRM lebih diiktiraf dan diperakui di mahkamah.

Sehingga kini, hampir 99 peratus kes dikendali BFT diterima sebagai bahan bukti.

Bagaimanapun, ia bukannya mudah kerana perlu melalui beberapa proses ketat, selain mematuhi piawaian antarabangsa tinggi.

Pada masa sama, SPRM turut menekankan usaha meningkatkan pengetahuan dan mempertajamkan kepakaran pegawainya dalam menyiasat kes jenayah siber serta digital dengan menghantar mereka untuk menerima latihan secara berterusan di dalam dan luar negara.

Pegawai dilengkapi pelbagai ilmu kemahiran dan kepakaran boleh dianggap ‘dua langkah ke hadapan’, malah kehebatan BFT ini menyebabkan SPRM sering dihubungi agensi penguatkuasaan lain untuk mendapatkan bantuan dan kerjasama bagi menyelesaikan sesuatu kes digital kompleks.

Justeru, satu Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD) dibentuk agensi mempunyai makmal forensik digital seperti CyberSecurity Malaysia (CSM), SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

KKFD menggabungkan pegawai makmal forensik digital daripada pelbagai agensi penguat kuasa untuk berkongsi maklumat dalam bidang jenayah siber dan keterangan digital.

Bagi sesi 2023-2024, SPRM dilantik sebagai peneraju dengan Timbalan Pengarah BFT, Wan Zulkifili Wan Jusoh dipilih sebagai pengerusi pada sesi kali ini.

Bagi memantap dan memperkukuh kerjasama antara agensi, KKFD juga dalam proses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Ia akan berfungsi sebagai platform berkongsi pengetahuan, kepakaran, amalan terbaik dan pandangan pihak ketiga dalam menjalankan siasatan digital.

Yang pasti, menerusi usaha pemerkasaan dijalankan, SPRM berkeyakinan BFT mampu menjadi tenaga pakar dan pusat rujukan dalam menjalankan siasatan forensik teknologi serta berupaya merintis inisiatif terkini khususnya pemodenan siasatan berasaskan teknologi digital.- BH ONLINE

  • Penulis adalah Pengarah Bahagian Forensik Teknologi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close