Pilihan EditorTurun Naik

Pengajaran Di Sebalik Nuzul Al-Quran

Oleh Siti Shamsiah binti Md Supi

Nuzul al-Quran dijadikan sebagai tarikh istimewa kepada umat Islam kerana ia  merakam sejarah penurunan ayat pertama al-Quran.

Surah al-‘Alaq sebagai ayat-ayat yang awal itu diturunkan dan disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibrail di dalam Gua Hira’ tempat baginda Rasulullah beruzlah.

Bermula dari situ ayat-ayat al-Quran  diturunkan secara beransur-ansur selama lebih dua dekad, untuk dijadikan sebagai  panduan kepada umat manusia. Manakala ayat terakhir yang diturunkan menurut pandangan sebahagian ulama ialah ayat 281, Surah al-Baqarah.

Antara perkara penting yang boleh kita fahami daripada Surah al-‘Alaq ini ialah konsep iqra’ yang sentiasa dibincangkan oleh umat Islam dengan pelbagai dimensi dan sudut, yang matlamatnya adalah untuk menghapuskan kejahilan dalam kalangan manusia.

Surah ini juga menyuntik kesedaran manusia tentang proses penciptaan manusia, iaitu dari sudut perhambaan seorang insan dengan Penciptanya.

Perkataan al-‘alaq bermaksud segumpal darah yang tergantung, yang boleh memberi penunjuk tentang sifat lemah  makhluk bernama manusia.

Walau bagaimanapun, kelemahan manusia boleh diperkukuhkan dengan menjadikan Penciptanya, yakni Allah SWT sebagai hala tuju hidup manusia sekali gus sebagai tempat pergantungannya. Proses dalam membina kekuatan (dalaman) manusia sudah tentu melalui kefahamannya terhadap al-Quran.

Begitulah seterusnya, ayat-ayat al-Quran itu diturunkan untuk disebarkan kepada manusia melalui baginda Rasulullah SAW (dengan penyampaiannya oleh Ruhul Qudus) secara beransur-ansur, selepas ia diturunkan sekali gus dalam malam al-Qadr  ke langit dunia. Sehinggalah ke ayat yang terakhir beberapa hari sebelum kewafatan Rasulullah SAW.

Terdapat pelbagai ilmu, peristiwa, khabar baik dan buruk yang terdapat di dalam al-Quran, dan kesemua kandungan al-Quran itu ditujukan kepada umat manusia demi kelangsungan hidup yang sejahtera secara syumul.

Tinggal sahaja lagi terpulang kepada manusia itu sama ada hendak mengambil manfaat daripadanya, ataupun sebaliknya. Membacanya sahaja akan memberikan pulangan pahala, apatah lagi jika ia dibaca sebagai kajian dan hasilnya dimanfaatkan bagi kesejahteraan manusia.

Tentu sekali hikmahnya jauh lebih lumayan sama ada dari dimensi duniawi apatah lagi ukhrawi.

Ayat 281, Surah al-Baqarah telah dinyatakan oleh sebahagian ulama sebagai ayat terakhir yang diturunkan adalah bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”  

Selain daripada mafhum ayat ini menunjukkan bahawa pelunasan hutang itu wajib dilaksanakan, tetapi ia juga boleh memberi kefahaman bahawa menjaga perhubungan sesama manusia itu adalah suatu perkara yang amat penting.

Kita dapat lihat di sini bahawa, pada penurunan awal ayat al-Quran, Allah SWT memberi pengajaran bahawa manusia itu perlu belajar dan menggali ilmu supaya menjadi manusia yang celik fikiran dan mata hatinya.

Pada masa yang sama menginsafi tentang latar belakang dan proses kejadian manusia supaya ia sentiasa taat dalam menjalani kehidupan di dunia.

Manakala pada akhir kalam Allah itu antara inti pati yang boleh diambil adalah kewajipan menjaga kebajikan sesama insan.

Maka, antara pengajaran yang boleh kita ambil di sini ialah, kesempurnaan hidup manusia itu adalah apabila terdapat keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi, dengan meletakkan akidah sebagai teras yang utuh.

Dalam keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi ini adalah penjagaan atau pemeliharaan hak Allah SWT dan juga hak manusia.

Contohnya, manusia wajib menunaikan solat kerana itu adalah hak Allah, dan manusia mesti melangsaikan hutangnya sesama manusia kerana itu adalah hak manusia yang wajib ditunaikan.

Seterusnya, pemahaman yang tinggi dan penghayatan yang mendalam seseorang manusia terhadap al-Quran, akan menghasilkan akhlak yang luhur dan sempurna.

Dalam hal ini Aishah r.a. pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW, lantas Aishah menjawab bahawa, “Akhlak Nabi SAW adalah al-Quran,” (HR Muslim).

Satu persoalan yang boleh dibangkitkan di sini adalah, bagaimanakah untuk kita mentafsirkan bahawa akhlak baginda Rasulullah adalah al-Quran?

Dalam hal ini al-Quran telah memperkenalkan kita tentang ketuhanan dan Tuhan yang wajib disembah ialah Allah SWT.

Di sini timbullah konsep ketakwaan yang dapat menjaga hubungan antara makhluk dengan Tuhannya.

Ketakwaan akan melahirkan cinta seorang insan terhadap Allah SWT, dan kecintaan terhadap Pencipta manusia akan menatijahkan keperibadian yang luhur untuk sesiapa sahaja, atau apa sahaja yang berada di sekeliling insan berkenaan.

Ringkasnya, Nuzul al-Quran bukan sekadar suatu peristiwa biasa tetapi sebenarnya adalah titik mula kepada sesuatu yang begitu agung sifatnya, iaitu permulaan bagi manusia untuk memahami kewujudan dirinya, yang membawa kepada penghayatan kewujudan Tuhan dan bagaimana seharusnya manusia itu menjalani kehidupan mereka. – IKIM ONLINE

  • Penulis ialah pegawai Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM).

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close