Kedai RuncitPilihan Editor

Pengusaha Nasi Dagang Terengganu Proaktif Pasarkan Rempah Dan Pes

Di saat masih ramai usahawan yang ‘buntu’ meneruskan perniagaan untuk pasca-COVID-19, pengusaha nasi dagang di Terengganu pula terus proaktif memasarkan rempah dan pes segera makanan tradisional itu.

Kalangan pengusaha nasi dagang yang ditemui Bernama mengakui mereka mula aktif memasarkan produk itu secara dalam talian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu sebagai inisiatif baharu.

Pemilik Nasi Dagang Atas Tol, Tuan Saidatul Jamilah Tuan Zainuddin berkata rempah dan pes nasi dagang segera itu yang memudahkan orang ramai membuatnya sendiri di rumah mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Maklum balas yang kami terima …pembeli berterima kasih kerana dapat mengubat kerinduan terhadap makanan tradisional kegemaran itu tanpa perlu memandu pulang ke Terengganu dan beratur panjang untuk membeli di kedai makan,” katanya.

Wanita berusia 28 tahun itu yang kini mempunyai empat cawangan Nasi Dagang Atas Tol di seluruh Terengganu, berkata beliau memasarkan pes dan rempah nasi dagang itu melalui 150 ejen dan 100 ‘dropship’ di seluruh negara.

Mariah Juhari, 59, pula mengimpikan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati makanan tradisional itu di mana sahaja dengan mudah melalui penggunaan pes dan rempah jenama Dapur Mok Bonda keluarannya.

“Pembeli hanya perlu tambahkan santan, air dan bahan mentah kesukaan mereka sama ada ayam, daging atau ikan sahaja. Ini sangat memudahkan golongan isteri terutama yang bekerja untuk menyediakan hidangan nasi dagang yang lazat dengan resipi asli Terengganu.

“Saya juga beruntung kerana anak-anak turut membantu dari segi pemasaran produk rempah nasi dagang ini di Facebook, Instagram dan WhatsApp,” katanya yang turut menjual pes gulai ikan, daging dan ayam serta pes laksa Terengganu.

Pelaksanaan PKP turut memberi pengalaman baharu buat seorang guru kontrak, Saidatina Nur Ain Mohd Salleh, 26, untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan apabila mula memasarkan rempah Nasi Dagang Haji Mat yang diusahakan ibu bapanya sejak April lepas.

“Sepanjang PKP, saya risau juga masa depan kerjaya saya,maklumlah hanya guru kontrak …saya beranikan diri mempromosikan rempah Nasi Dagang Haji Mat kepada kawan terdekat dan di laman sosial.

“Alhamdulillah, ramai yang akui  rempah nasi dagang kami sangat sedap dan mudah untuk disediakan,” katanya yang sedang mencari ejen di seluruh negara untuk memasarkannya. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close