Duniaku TeknokratPilihan Editor

Top Glove Kini Syarikat Ketiga Terbesar Di Bursa Malaysia

Top Glove Corporation Bhd kini muncul sebagai syarikat ketiga terbesar di Bursa Malaysia, mengatasi Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Permodalan pasaran syarikat pembuat sarung tangan itu meningkat kepada RM64.73 bilion ketika ditutup hari ini.

Pada 5 petang, saham Top Glove ditutup 9.5 peratus atau RM2.08 lebih tinggi pada RM24 dengan 32.6 juta saham diniagakan.

Kaunter itu mencapai paras tertinggi pada RM24.50 hari ini, dan kini ia berada di belakang dua saham teratas daripada segi permodalan pasaran – Maybank (RM88.7 bilion) dan Public Bank (RM71.9 bilion).

Sementara itu, nilai pasaran TNB adalah RM64.58 bilion pada penutup dagangan hari ini.

Pengerusi Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai, berkata pembuat sarung tangan terbesar di dunia itu menyasarkan untuk membina dua kilang setiap tahun untuk memenuhi permintaan global bagi sarung tangan getah dalam industri perubatan dan tahap kesedaran mengenai kebersihan yang meningkat di kalangan orang ramai berikutan penularan COVID-19 .

Beliau berkata, syarikat itu kini mempunyai 45 kilang dan daripada jumlah itu sebanyak 34 adalah kilang sarung tangan dengan 700 barisan pengeluaran yang mempunyai kapasiti untuk membuat sebanyak 78.7 bilion sarung tangan setahun.

Top Glove juga kekal terbuka untuk penggabungan dan pengambilalihan, usaha sama serta peluang kepelbagaian.

Dalam nota hari ini, Kenanga Research berkata ia telah menaikkan harga sasaran Top Glove kepada RM32, dengan mengambil kira sasaran pengurusan bahawa purata harga jualan sarung tangan pada bulan Ogos ditetapkan menjadi 30 peratus lebih tinggi bulan ke bulan berbanding sasaran sebelumnya sebanyak +10 peratus

MIDF Research berkata, ia menjangkakan pengeluaran Top Glove akan meningkat sebanyak 36 peratus daripada 73.8 bilion keping pada suku ketiga 2020 kepada 100.4 bilion keping pada suku keempat 2021.

Justeru, ia meningkatkan saranan ‘beli’ saham Top Glove daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran yang disemak semula sebanyak RM26.12 sesaham daripada RM17.30 sebelumnya.

Sementara itu, AmBank Research percaya bahawa momentum kenaikan saham Top Glove akan terus meningkat pada harga sasaran seterusnya pada RM24.82 dan RM26.62 kerana saham telah melonjak mengatasi tahap rintangan pada RM20.16 dengan jumlah dagangan yang tinggi. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close