GovernansPilihan EditorTurun Naik

Penjawat Awam Perlu Celik Kewangan

Oleh Farah Shazwani Mohd Taib

 

Isu literasi kewangan peribadi membabitkan persoalan hutang yang serius, tiada pemilikan rumah dan simpanan menjelang usia persaraan dalam kalangan penjawat awam kurang dibincangkan kerana ia dianggap sebagai sensitif.

Bagaimanapun ia menjelaskan mengenai ceteknya ilmu literasi kewangan.

Memetik sumber daripada Bank Negara Malaysia, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) secara keseluruhannya meningkat kepada 82.7 peratus pada akhir tahun lalu berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan.

Sehingga Februari 2018, jumlah hutang terkumpul penjawat awam adalah RM236 bilion.

Jumlah ini bersamaan dengan 20 peratus daripada jumlah hutang isi rumah atau 17 peratus daripada KDNK, lebih tinggi daripada tahap yang dicatat pada 2012 (18 peratus daripada jumlah hutang isi rumah atau 15 peratus daripada KDNK).

Umum mengetahui, pendapatan penjawat awam terutama kumpulan pelaksana mahupun pegawai pada peringkat bawahan adalah rendah berbanding kos sara hidup yang perlu ditanggung.

Hal ini membuatkan kebanyakan mereka tidak dapat menyimpan, malah hanya cukup makan menjelang pertengahan bulan.

Bagaimanapun, berkhidmat dengan kerajaan antara sektor pekerjaan pilihan kerana pelbagai kemudahan disediakan seperti kuarters, kemudahan kesihatan, pencen dan elaun berkaitan perkhidmatan berbanding sektor swasta mahupun menjalankan perniagaan sendiri.

Hal ini sedikit sebanyak melahirkan penjawat awam yang berada dalam zon selesa dan menjadikan mereka terlalu bergantung kepada kemudahan kerajaan, berbelanja tanpa perancangan kerana tiada komitmen berkaitan pemilikan rumah dan kos lain seperti penyelenggaraan, cukai dan sebagainya.

Menjelang umur persaraan, sebilangan daripada penjawat awam masih kurang kesedaran akan persediaan persaraan seperti pemilikan rumah, simpanan bagi menampung perbelanjaan kelak terutama bagi mereka yang masih mempunyai tanggungan.

Dengan usia yang semakin meningkat, komitmen bulanan juga semakin tinggi dengan kos pendidikan anak, kesihatan dan pelbagai kos lain menyukarkan mereka untuk menyimpan mahupun membuat pinjaman perumahan.

Apatah lagi nilai hartanah terus meningkat berkali-kali ganda menyukarkan mereka membuat pembelian hartanah berbekalkan wang gratuiti dan pencen bulanan dengan usia yang lanjut.

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 dilancarkan pada 2019 menetapkan keutamaan dan pelan tindakan bagi menyediakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan membuat keputusan kewangan.

Justeru, penjawat awam terutama daripada golongan pelaksana dan pegawai pada peringkat rendah perlu mengambil inisiatif sejak awal perkhidmatan bagi menyediakan diri menjelang persaraan.

Institusi latihan kerajaan yang berkaitan juga perlu menyediakan kursus dan latihan berkenaan literasi kewangan bagi meningkatkan pengetahuan penjawat awam pada setiap peringkat kerana pendapatan yang tinggi dalam kalangan pegawai peringkat pertengahan ke atas juga tidak menjamin kemampuan mereka menguruskan kewangan peribadi dengan bijak.

Mentaliti kestabilan bekerja di sektor kerajaan juga perlu dilihat semula kerana, zaman kini tidak seperti dahulu dengan beban kerja yang tinggi, kenaikan gaji tidak seiring kadar inflasi dan kompleksiti dalam menjalankan tugas juga harus diambil kira.

Secara rumusan, penjawat awam perlu lebih peka akan kepentingan literasi kewangan peribadi dari awal perkhidmatan.

Justeru, perancangan kewangan yang teratur sepanjang tempoh perkhidmatan perlu ditekankan pada setiap peringkat bagi melengkapkan diri dengan ilmu dan disiplin yang tinggi berkenaan literasi kewangan bagi menjamin persaraan yang tenang. – BERITA HARIAN

 

  • Penulis adalah Perunding Latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close