Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) mencatatkan prestasi lebih memberangsangkan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020, apabila keuntungan bersih meningkat empat peratus berbanding suku sama tahun lalu kepada RM10 juta.
Sementara itu, untung sebelum zakat dan cukai Pharmaniaga dalam suku dikaji bertambah sebanyak 15 peratus kepada RM14 juta.
Bagi enam bulan pertama 2020, keuntungan bersihnya meningkat 11 peratus manakala untung sebelum cukai mencecah sebanyak RM45 juta, dengan pendapatan meningkat kepada RM1.5 bilion.
Berasaskan prestasi kukuh ini, Lembaga Pengarah Pharmaniaga mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 2.5 sen sesaham.
Dividen akan dibayar 6 Oktober ini kepada pemegang saham berdaftar pada 8 September 2020.
Pemangku Pengarah Urusannya, Mohamed Iqbal Abdul Rahman, berkata prestasi kumpulan dipacu oleh permintaan lebih tinggi dalam perniagaan bukan konsesi, terutama berasaskan peningkatan jualan peralatan perlindungan diri akibat pandemik COVID-19 yang sedang menular.
“Sejajar dengan itu, Pharmaniaga terus memastikan bekalan ubat-ubatan dan bahan perubatan yang stabil kepada fasiliti Kementerian Kesihatan, di samping menyediakan perkhidmatan logistik dan pengedaran,” katanya dalam satu kenyataan. – BERITA HARIAN