Governans

BNM Dijangka Turunkan OPR Sehingga 1.50 Peratus

Bank Negara Malaysia dijangka menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 1.50 peratus menjelang akhir tahun ini, menurut RAM Rating Services Bhd.

Ketua Ahli Ekonomi RAM Ratings, Woon Khai Jhek, berkata pulangan bon domestik akan kekal mengalami tekanan dalam keadaan mudah tunai global yang amat tinggi, justeru ia tidak menolak kemungkinan satu lagi pusingan pemotongan OPR oleh bank pusat.

“Kami merasakan (bahawa) OPR mungkin mengakhiri 2020 pada 1.50 peratus,” katanya dalam satu nota.

Pasaran bon serantau menyaksikan pertambahan minat asing baru-baru ini, didorong sentimen bertambah baik terhadap penyambungan kembali aktiviti ekonomi, ditambah dengan mudah tunai global yang banyak susulan pelonggaran kuantitatif.

RAM Ratings berkata, bon Malaysia menjadi popular dan merekodkan aliran masuk asing bersih ketiga berturut-turut pada Julai iaitu sebanyak RM7.1 bilion.

“Aliran masuk yang konsisten itu telah mengimbangi sebahagian besar penjualan panik semasa memuncaknya pandemik, dengan nilai aliran masuk bersih setakat ini bagi 2020 berjumlah RM1.3 bilion.

“Justeru, pegangan asing bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)/Terbitan Pelaburan Kerajaan meningkat kepada 23.5 peratus daripada keseluruhannya pada Julai, hampir kepada 23.9 peratus yang dicatatkan pada Februari, tempoh pra-COVID-19,” katanya.

Sebagai perbandingan, kadar penyertaan di Thailand dan Indonesia masih berada dalam aliran rendah walaupun permintaan asing kembali konsisten.

Meskipun mencatatkan permintaan asing yang kukuh, namun aliran hasil masih rendah sepanjang Julai.

RAM Ratings berkata, penurunan secara keseluruhannya juga adalah susulan langkah pengurangan OPR bagi kali keempat tahun ini oleh BNM.

Penurunan keseluruhannya adalah sebanyak 1.25 peratus kepada 1.75 peratus setakat ini bagi 2020, kadar terendah sejak kaedah dasar ini diperkenalkan pada 2004.

Justeru, hasil MGS berjangka 10 tahun yang menjadi penanda aras susut kepada paras terendah 2.62 peratus setakat akhir Julai, manakala hasil MGS jangka pendek bertempoh satu tahun mencecah paras terendah baharu iaitu 1.78 peratus. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close