Malaysia

PRK Slim: BN Calonkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, diumumkan sebagai calon untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Pengumuman dibuat Pengerusi BN Perak yang juga Pengarah PRK DUN Slim, Datuk Saarani Mohamad, di Dewan Rajawali Felda Residence, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Mohd Zaidi, 43, anak kelahiran Kampung Slim Village di Slim River adalah Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) dan sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung serta Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Ketua UMNO cawangan Kampung Slim Village itu juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian serta ahli jawatankuasa Biro Kebajikan UMNO Malaysia.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim pada 15 Julai lalu.

PRK itu dijadual diadakan 29 Ogos ini dengan 15 Ogos adalah hari penamaan calon dan hari pengundian awal pula 25 Ogos.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.

Pada PRU-14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan parti baharu, Jumaat lalu dijangka mengumumkan calon mewakili parti itu malam ini di Slim River. – BERITA HARIAN

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz (dua dari kiri) diumumkan sebagai calon untuk mewakili BN dalam PRK DUN Slim. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz (dua dari kiri) diumumkan sebagai calon untuk mewakili BN dalam PRK DUN Slim. – NSTP/Sharul Hafiz Zam

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close