Malaysia

Polis Siasat Rakyat Malaysia Dalang Jual Organ Di UK

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung pendedahan sebuah akhbar di United Kingdom (UK) mengenai seorang lelaki warga Malaysia didakwa terbabit dalam aktiviti perdagangan organ manusia secara haram di negara itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya amat meragui pendedahan yang dibuat akhbar berkenaan dan siasatan akan dibuat bagi memastikan kebenarannya.

“Siasatan berhubung perkara itu sudah mula dijalankan oleh Polis Sarawak.

“Kita amat ragu dengan pendedahan itu, oleh itu kita akan memastikan berita-berita sensasi sedemikian disiasat sedalam-dalamnya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, pendedahan itu yang mengatakan seorang lelaki rakyat Malaysia terbabit dalam kegiatan menjual organ secara haram jelas menjejaskan imej negara.

Menerusi pendedahan oleh akhbar The Sun yang berpangkalan di UK pada 8 Ogos lalu itu, lelaki dikenali sebagai Shaifullizan Abdul Mutalib, 48, mendedahkan aktivitinya kepada seorang wartawan akhbar terbabit yang menyamar sebagai pembeli.

Shaifullizan dikatakan bercakap besar kepada wartawan terbabit mengatakan dia boleh mengatur urusan transplan organ secara haram kepada warga Britain dengan kos 85,000 pound sterling (RM465,000).

Menurut akhbar itu, perbualan antara Shaifullizan bersama wartawan itu dirakam menerusi satu kamera tersembunyi.

Lelaki berkenaan mengatakan dia mendalangi 45 penjualan buah pinggang dan menggunakan Facebook untuk menarik perhatian mana-mana individu miskin di seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit yang terdesak.

Dia dikatakan terbabit dalam aktiviti jual beli organ manusia dan berperanan sebagai orang tengah yang mengatur jual beli bahagian tubuh manusia sejak 2010. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close