Governans

Produk Agrikomoditi Sumbang 14.2 Peratus Hasil Eksport Negara

Pendapatan eksport produk agrikomoditi mencecah RM63.7 bilion atau 14.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bagi tempoh Januari hingga Jun 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata nilai itu meningkat 4.4 peratus berbanding RM61.1 bilion yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan disebabkan oleh kenaikan harga agrikomoditi utama iaitu harga purata minyak  sawit mentah (MSM).

“Produk berasaskan sawit yang menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 51.8 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus kepada RM33 bilion.

“Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 12.3 peratus kepada 12 juta tan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairuddin berkata, COVID-19 memberikan kesan kepada pengeluaran eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia, malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia.

Katanya, melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan yang bermula secara berperingkat pada 18 Mac hingga 31 Ogos 2020 telah memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

“Pengecualian 100 peratus duti eksport bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun lalu, dijangka dapat mendorong permintaan dunia ke atas minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia.

“Selain itu, kesan pengurangan duti import sebanyak lima peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–India (AIFTA) mulai 1 Januari 2020 dijangka mampu merangsang kembali eksport minyak sawit Malaysia ke India,” katanya.

Sementara itu, produk getah menyumbang sebanyak 27.9 peratus kepada keseluruhan eksport barangan agrikomoditi telah meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada RM17.8 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2020.

Peningkatan ini adalah disebabkan oleh nilai eksport produk berasaskan lateks, terutama sarung tangan getah yang merekodkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 40.3 peratus kepada RM11.8 bilion berbanding RM8.4 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut mencatatkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 48 peratus kepada 563,000 tan, berbanding 380,000 tan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Produk berasaskan kayu-kayan pula menyumbang sebanyak 15.1 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2020, nilai eksport adalah sebanyak RM9.6 bilion, menyusut sebanyak 9.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Eksport produk koko yang menyumbang sebanyak 4.9 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi mencatatkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus kepada RM3.1 bilion.

Nilai eksport lada merekodkan penurunan sebanyak 20 peratus kepada RM51.9 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berbanding tempoh yang sama pada 2019. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close