GovernansPilihan Editor

Bajet 2022 Ambil Kira Semua Keadaan, Kewangan Negara – Ismail Sabri

Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion dibentangkan selepas kerajaan mengambil kira semua keadaan, termasuk kedudukan kewangan negara serta keperluan menjaga kebajikan rakyat yang terjejas akibat COVID-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri menegaskan, keutamaan kerajaan ketika mencadangkan belanjawan itu adalah kebajikan rakyat yang mengalami kesukaran kewangan dalam tempoh satu hingga dua tahun ini akibat penularan wabak berkenaan.

“Saya beritahu sewaktu prabajet bahawa bajet ini mengambil kira semua dan kebajikan rakyat adalah amat penting, rakyat susah selama setahun, dua ini akibat pandemik, ada yang kehabisan wang simpanan. Oleh itu, kita beri bantuan-bantuan tunai kepada rakyat untuk bantu mereka teruskan kehidupan.

“Bantuan turut diberi kepada syarikat-syarikat mikro yang terjejas teruk kerana tidak boleh menjalankan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Bukit Jalil, di sini hari ini.

Mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamed semalam bahawa Bajet 2022 terlalu besar dan akan memberi kesan buruk terhadap kewangan negara, Ismail Sabri mengakui belanjawan yang dibentangkan adalah besar, namun yakin Kementerian Kewangan akan menguruskan perbelanjaan negara dengan baik.

Kepada dakwaan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin bahawa Bajet 2022 dilihat berunsur perkauman, Perdana Menteri menegaskan, tuduhan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) itu tidak benar kerana kaum Cina, India, Orang Asli serta Sabah dan Sarawak turut mendapat manfaat dalam belanjawan berkenaan.

“Saya rasa dia tidak faham, mungkin dia tidak baca bajet berkenaaan. Apa-apa pun, Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) akan jawab dengan lebih lanjut di Dewan Rakyat nanti,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close