Turun Naik

Ramai Teruja Rentas Negeri, Balik Kampung ‘Qada’ Sambut Aidilfitri

Oleh Rohani Mohd Ibrahim dan Disunting oleh Rafe’ aton Md. Ali

 

Sebaik ‘lampu hijau’ diberikan bagi melakukan perjalanan rentas negeri bermula semalam (10 Jun), sebahagian besar rakyat Malaysia tidak sabar dan sudahpun merancang untuk balik kampung atau setidak-tidaknya bercuti bersama keluarga, hujung minggu ini.

Memandangkan masih suasana raya dalam bulan Syawal, ramai yang begitu teruja untuk menghangatkan kembali sambutan Aidilfitri dan menggayakan baju raya serta fesyen rambut raya apabila berkesempatan berkumpul bersama adik-beradik, ibu bapa dan keluarga tercinta.

Tidak kurang juga ada yang teringin menjenguk ke dusun milik keluarga dan menikmati durian serta buah-buahan tempatan seperti duku, langsat, cempedak, mangga dan rambutan yang berlonggok di kampung.

Sesungguhya, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad (7 Jun 2020) lepas, amat dinanti dan melegakan rata-rata rakyat setelah hampir tiga bulan mematuhi arahan duduk di rumah.

PKPP yang bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan termasuk perjalanan rentas negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan ekonomi dibenarkan beroperasi.

Apa yang pasti, keterujaan untuk bertemu orang kampung bukan sahaja dirasai rakyat marhaen, malah pemimpin juga tidak sabar untuk merentas negeri dan bertemu pengundi di peringkat akar umbi.

JENGUK ORANG KAMPUNG

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara pemimpin yang akan melakukan perjalanan rentas negeri hujung minggu ini untuk menjenguk orang kampung di kawasan Parlimen Bera.

Beliau yang juga anggota Parlimen Bera sejak 2004 ternyata tidak sabar untuk balik kampung di Pahang.

“Sudah 84 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Setiap hari selama 84 hari, saya bertemu dengan wakil media, namun tidak berjumpa rakyat di kawasan Parlimen Bera,” kata Ismail Sabri selepas sidang media mengenai COVID-19 di Perdana Putra, di sini, Isnin lepas.

Siaran langsung sidang media harian, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, sentiasa diikuti seluruh rakyat Malaysia sehingga netizen menggelarkan beliau sebagai Pak Long Mail.

Ditanya sama ada sidang media harian beliau akan ‘bercuti’ pada hujung minggu ini kerana beliau pulang ke Bera, Ismail berkata, “perkara itu akan dimaklumkan kemudian.”

Sejak fasa pertama PKP dilaksanakan mulai 18 Mac, berlanjutan hingga ke fasa keempat (29 April hingga 12 Mei) dan memasuki fasa Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) dari 13 Mei hingga 9 Jun lepas, Ismail Sabri tidak pernah putus mengadakan sidang media harian tepat pada pukul 2 petang, selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP.

Tidak melepaskan peluang untuk melakukan perjalanan rentas negeri ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri yang akan terbang ke Kuching esok (Jumaat) untuk menghadiri tugas rasmi.

Nancy yang juga anggota Parlimen Batang Sadong bagaimanapun berkata beliau tidak akan pulang ke kawasan Parlimennya kerana kali ini mempunyai urusan rasmi di Kuching.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian di sana (Kuching). Perjalanan rentas negeri saya hujung minggu ini hanya untuk tugas rasmi sahaja,” kata Nancy.

TUNGGU GILIRAN

Sementara itu, petugas barisan hadapan COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pekan, Pahang, Dr Nur Fahimah Amir Jalaluddin, 33, merancang pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak pada 20 Jun depan.

Beliau yang kali terakhir pulang ke kampung Februari lepas, tidak dapat bercuti lebih awal kerana terpaksa menunggu giliran rakan lain bercuti.

Dr Nur Fahimah juga tidak menolak kemungkinan terpaksa pulang ke kampung bersendirian kerana suaminya juga seorang petugas barisan hadapan.

“Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana dapat juga bertemu ayah dan bonda meskipun pada pertengahan Syawal setelah tidak berpeluang berbuka puasa bersama-sama Ramadan lalu,” katanya yang akan memandu sendirian dari Pekan ke Ipoh, Perak.

PATUHI SOP PKPP

Dalam keterujaan untuk pulang ke kampung dan bercuti merentas negeri bagi menemui orang yang dirindui, rakyat perlu sentiasa mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media baru-baru ini berkata PKPP dilaksanakan mulai 10 Jun berpandukan SOP khusus bagi memulihkan keadaan penularan wabak COVID-19.

“Pendekatan ini diharap dapat mengimbangi nyawa dan mata pencarian sebagai sebahagian daripada langkah pemulihan dan seterusnya menyediakan negara ke arah strategi jalan keluar (dari wabak COVID-19), selepas 31 Ogos,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka bahawa S.O.P ialah S – syarat yang diletakkan di bawah PKPB, O – orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya perlu dilindungi dan P – penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter setiap masa.

Menurut Dr Noor Hisham, PKPP hanya akan berjaya jika semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan selain penglibatan seluruh komuniti untuk sama-sama membudayakan normal baharu dalam kehidupan seharian.

“Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita dan kita jaga negara kita. Kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya.  — BERNAMA

 

  • Penulis dan penyunting ialah pengamal media BERNAMA.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close